Kelantan memastikan tiket final Piala Emas Raja-Raja 2017 dalam genggaman mereka setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Mini UPM, Serdang pada Sabtu.
Juara 15 kali bimbingan Kamarudin Mohamad itu menjaringkan gol pertama pada minit ke-19 setelah percubaan Fikram Mohamad berpunca daripada hantaran cantik dari Ailim Fahmi Kamarudin gagal diselamatkan penjaga gol Kuala Lumpur, Syafiq Ramli.
Hasrat lebih 100 penyokong untuk menyaksikan permainan lebih rancak selepas jaringan itu tidak kesampaian apabila kedua-dua pasukan dilihat bergelut menterjemahkan rentak permainan sebenar mereka dalam keadaan cuaca panas terik dan kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa.
Skuad warga kota bimbingan Zulkifi Samion tampil lebih kemas di separuh masa kedua dan gandingan trio barisan depan Shafiq Azman, Haziq Rezal dan Hafifi Salleh beberapa kali mencemaskan pintu gol Kelantan dikawal oleh Farmie Hussin.
Paling hampir adalah pada minit ke-54 apabila percubaan Shafiq yang menerima umpanan Haziq terkena tiang pada ketika Farmie sudahpun tertewas, manakala percubaan Asyraf Abdul Talib pada minit ke-82 pula mengegar palang.
Kelantan memastikan bekalan dua gol untuk aksi timbal balik di Kota Bharu berpunca dari kesilapan ketua pasukan Kuala Lumpur Azwan Nasyriq yang menghantar bola ke belakang dan gagal diselamatkan Syafiq di pintu gol.
Kamarudin yang ditemui selepas perlawanan melaungkan keyakinan Kelantan akan dapat mempertahankan kelebihan seterusnya mara ke final namun dalam masa sama menegaskan bahawa belum cukup berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya.
“Ini kali pertama saya tengok mereka bermain seperti ini, di bawah keupayaan sebenar sepanjang saingan Piala Emas Raja-Raja. Permainan kita serba tidak menjadi mungkin juga faktor cuaca panas. Walaupun begitu, saya gembira kita berjaya pulang dengan dua gol di tempat lawan.
“KL perlu mencari tiga gol di Kota Bharu yang mana pastinya sukar dan ini juga membolehkan kami beraksi tanpa tekanan nanti. Kita akan tengok dan kenalpasti apa kelemahan, susun strategi sesuai untuk perlawanan timbal balik,” kata Kamarudin.
Manakala Zulkifli pula berkata, “Kita tiada nasib hari ini, kita menyerang, satu kena tiang, satu kena palang, selepas itu kita melepaskan gol kedua kerana kesilapan pertahanan. Tetapi tidak mengapa, peluang masih terbuka, dalam bola apa sahaja boleh terjadi, kita masih ada 90 minit jadi kita akan cuba bangkit di Kota Bharu.”
Sementara itu dalam satu lagi aksi separuh akhir, Selangor gagal memanfaatkan kelebihan gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Pulau Pinang di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.
Aksi separuh akhir kedua antara Kelantan dan Kuala Lumpur akan berlangsung pada 28 Oktober di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV manakala Pulau Pinang dan Selangor pula akan berentap pada 29 Oktober di Stadium USM. – OLEH MUHAMMAD AIMAN