Nampak agak ā€˜kejamā€™, tetapi itulah langkah diambil Malaysia Football League (MFL) demi memastikan isu tunggakan gaji tidak dipandang enteng apabila mengarahkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menyelesaikan dulu hutang lama berjumlah lebih RM500,000 kepada bekas pemain import Dramane Traore dan bekas Pengarah Teknikal, Alfredo Gonzalez jika mahu menggunakan pemain import pada musim baru Liga Malaysia.

Dengan Kelantan dihimpit pelbagai masalah berkaitan tuntutan tunggakan gaji sejak beberapa musim lalu, MFL nyata tegas dan enggan berkompromi memberi kelonggaran kepada mereka kali ini.

Dan tindakan MFL mengetatkan syarat pengambilan pemain import itu mengundang rasa kecewa Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan yang menganggap keputusan MFL itu sebagai tidak adil.

ā€œKita sedang berusaha keras mendapatkan dana bagi musim baru, sedang membuat persiapan mengikut apa yang kita mampu, semua nampak di landasan baik tiba-tiba kita diarahkan untuk bayar lebih setengah juta ringgit bagi menjelaskan tunggakan lama atau bakal disekat menggunakan import.

ā€œBila nama pun hutang, kita mengambil masa untuk menyelesaikannya. Hutang tiga empat tahun tidak boleh diselesaikan dalam satu atau dua hari sebaliknya diselesaikan secara beransur-ansur. Jika tidak persiapan pasukan semasa akan terganggu. Jadi sekarang ini kita kena fikir pula apa kaedah untuk menyelesaikannya,ā€ kata Bibi Ramjani.

Skuad The Red Warriors setakat ini telah mendapatkan dua pemain import iaitu Cassio Fransisco yang dikekalkan khidmatnya manakala Yuta Suzuki pula baru dibawa masuk menerusi kerjasama dengan Yakult.

Melihat dari satu sudut pandang berbeza, sebenarnya mungkin ini juga merupakan satu cara terbaik untuk mendidik mana-mana persatuan supaya tidak bersikap sambil lewa di dalam menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji sepertimana diarahkan.

Malah KAFA di bawah pimpinan Bibi Ramjani sendiri, diketahui pernah dan masih berhutang gaji dengan pemain seperti Badhri Radzi, S.Veenod, Amiridzwan Taj Tajuddin, Do Dong Hyun, Morgaro Gomis dan beberapa pemain lain.

Selama ini pun KAFA tidak pernah membayar gaji Badhri dan Taj walaupun secara beransur-ansur, jadi jika langkah seperti ini tidak diambil, adakah mungkin hutang sejak beberapa tahun itu akan selesai? MUHD AIMANĀ 

- Advertisement -