Kelantan semakin hampir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super selepas mengalami kekalahan kesembilan musim ini, kali ini kecundang 0-4 di tangan Selangor di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Dengan pengurusan amatur yang ‘caca marba’ serta barisan pemain muda yang mentah pengalaman, skuad bimbingan Fajr Ibrahim menyerlahkan betapa mereka tidak mempunyai sebarang kualiti untuk berjuang mengelak tersingkir ke Liga Premier musim depan. Mereka perlukan lebih dari keajaiban untuk melakukannya!
Aksi di Cheras menyaksikan Selangor mendominasi hampir sepenuhnya aksi separuh masa pertama dan tiga gol pantas dalam tempoh sembilan minit oleh Rufino Segovia (m-31 dan 35) serta Evan Dimas Darmono (m-39) membolehkan mereka mendahului selesa 3-0 menuju rehat.
Skuad Nazliazmi Nasir beraksi lebih santai di separuh masa kedua dan mengesahkan kemenangan keempat musim ini setelah Rufino melengkapkan hatriknya pada minit ke-82.
Dengan 14 mata, Red Giants kini menduduki tangga kelapan manakala Kelantan pula tergelincir ke tangga tercorot Liga Super dengan hanya lapan mata dari 13 perlawanan. Tinggal hanya sembilan perlawanan untuk diharungi dan melihat kepada kemelut yang dihadapi pasukan, penyokong The Red Warriors sendiri ibarat sudah tidak lagi yakin dengan keupayaan pasukan mereka untuk terus bertahan.
Sementara itu, tiga pemain pinjaman – S.Veenod, Syahrul Azwari Ibrahim dan Lee Chang Hoon tampil dengan permainan cukup bertenaga dalam penampilan sulung untuk menghadiahkan Melaka United kemenangan pertama selepas mengharungi lapan perlawanan liga, dengan mengejutkan Kedah 2-0 di Darul Aman.
Ia juga kemenangan pertama buat E.Elavarasan selepas empat perlawanan manakala Kedah pula kecundang buat kali pertama di bawah bimbingan Nidzam Adha Yusoff.
Veenod yang menyertai Melaka baru dua hari lalu selepas digugurkan Kelantan, pantas mendapat kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama dan dia memulakan gerakan untuk gol pertama. Hantarannya disambut Syahrul yang melorongkannya kepada Chang Hoon dan disudahkan oleh Yahor Zubovich.
Chang Hoon mengesahkan tiga mata buat Melaka setelah menolak masuk hantaran rakan sepasukan dari jarak dekat menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit akhir perlawanan.
Melaka melonjak ke tangga kesembilan dengan 14 mata manakala Kedah kekal di tangga kelima dengan 21 mata.MUHD AIMANÂ