Kelantan nampaknya semakin kesuntukan masa untuk merubah nasib mereka.
Pasukan dengan jolokan The Red Warriors itu wajib melaksanakan misi mustahil menang ke atas Johor Darul Takzim (JDT) pada Jumaat ini bukan sahaja untuk menyalakan harapan kekal di Liga Super, tetapi juga untuk merebut tempat dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
Pasukan bimbingan Yusri Che Lah itu kembali menghuni tangga tercorot dalam carta liga 12 pasukan setelah kedudukan mereka dipintas Negeri Sembilan yang melakar kemenangan 3-1 ke atas Selangor pada Rabu.
Hanya 11 pasukan teratas Liga Super dan lima pasukan Liga Premier akan layak untuk beraksi dalam pertandingan tertua tanah air itu yang akan bermula bulan depan.
Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing mengumpul 15 mata namun dipisahkan menerusi beza jaringan dan melihat kepada baki perlawanan yang tinggal, ternyata tekanan dilihat lebih tinggi di kem Kelantan – sama ada untuk menyelamatkan diri dari tersingkir mahupun merebut tempat di Piala Malaysia.
Hakikatnya, bukan sahaja mustahil untuk mereka mendapatkan mata menentang JDT di Larkin, tetapi dua aksi selepas itu menentang Terengganu dan Pahang juga cukup berliku manakala aksi yang berbaki bagi Negeri Sembilan pula adalah menentang Kuala Lumpur dan Melaka United.
“Kita semakin terhimpit selepas kemenangan Negeri Sembilan ke atas Selangor. Sudah tentunya ia memberi tekanan kepada kami untuk mendapatkan mata sekurang-kurangnya mengejar kedudukan ke-10 dan dalam masa sama tidak mahu tercicir ke kempen Piala Malaysia,” kata Yusri.
“Tetapi selagi belum berakhir 90 minit, jangan putus harapan. Misi kami ke Larkin sememangnya mahu mendapatkan mata, satu mata itu adalah sesuatu yang lebih baik dari pulang tangan kosong tetapi jika tiga mata ia adalah satu bonus,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Yusri berharap kehadiran semula dua pemain tonggak skuad bawah 19 tahun negara yang merangkul Kejuaraan AFF B-19 di Indonesia minggu lalu, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Syaiful Alias akan dapat dapat memberi kekuatan tambahan kepada pasukannya.
“Kemungkinan besar saya akan mengekalkan sebahagian besar pemain sama yang menewaskan Selangor dan seri menentang Melaka. Kemasukan Nik Akif Syahiran membolehkan saya mengatur perancangan terbaik untuk pasukan mendapat keputusan positif,” katanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN