Perebutan untuk berada di kelompok tiga teratas Sepaktakraw League (STL) Premier semakin terbuka luas setelah dua pencabar utama untuk mengisi kedudukan itu, Kelantan Warriors dan Terengganu Turtles tumbang kepada lawan masing-masing dalam aksi berlangsung pada Sabtu.
Kelantan Warriors yang menjinakkan ATM Guardians pada Jumaat gagal meneruskan momentum kemenangan apabila trio sandaran utama mereka Hisyam Mat-Naim Izani Noor-Aiman Azwawi kecundang 0-2 (24-25, 18-21) kepada Selangor Pistons.
Kekalahan menyaksikan pasukan bimbingan Baharil Anuar itu kekal di tangga kedua dengan 12 mata hasil enam kemenangan namun mereka terlepas peluang untuk mengukuhkan cengkaman dan menjarakkan diri dari pencabar lain.
“Pemain telah memberi tentangan sengit, mengerah kudrat sehabis terdaya, tetapi tiada rezeki kita. Tekong kita (Hisyam) juga beberapa kali melakukan kesilapan dengan servis yang kandas di jaring, tapi saya tidak salahkan sesiapa kerana semua pasukan mahu menang dan perlu akui hari ini bukan hari kita.
“Saya percaya kita masih berpeluang untuk menamatkan cabaran di kedudukan tiga teratas, kita perlu menang baki dua perlawanan. Sudah tentunya minggu akhir nanti menjanjikan saingan lebih sengit kerana ketika ini jurang antara semua pasukan dari nombor dua hingga tujuh adalah sama ataupun sangat kecil,” kata Baharil.
Kelantan Warriors ketika ini terikat dengan Terengganu Turtles yang berada di kedudukan ketiga juga dengan 12 mata namun mendahului jiran dari pantai timur itu hanya menerusi beza set menang.
Manakala, kemenangan buat Selangor Pistons menyaksikan mereka kekal di kedudukan ketujuh dengan 10 mata hasil lima kemenangan dan turut menyalakan peluang memecah masuk ke kelompok tiga teratas yang menawarkan slot beraksi di STL Champions Cup.
Sementara itu, dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, Terengganu Turtles terlepas peluang untuk kembali merampas kedudukan kedua setelah membenarkan finalis musim lalu, Kuala Lumpur Thunder bangkit dari kekalahan set pertama dan menang 2-1 (16-21, 21-18, 21-13).
Tanpa dua pemain tonggak, Fadzil Roslan dan Zulkifli Razak yang masih tersisih akibat kecederaan, Terengganu Turtles sekali lagi menyandarkan harapan kepada kelibat Irsyad Faiz Aziz dan Azwan Muhrim sebagai pengganti untuk bergandingan dengan pemain kebangsaan, Hanafiah Dollah.
Walaupun bermula dengan langkah kanan dengan memenangi set pertama, gandingan itu gagal menangani asakan dari trio berpengalaman KL Thunder, Aizat Nor Azmi-Amirul Zazwan Amir-Hafiz Rahman sekaligus menyaksikan Terengganu Turtles tewas buat kali keenam buat musim ini.
Menurut pengurus Terengganu Turtles, Rosmadi Mohamad, “Keyakinan pemain menurun di set ketiga. Kita masih tidak dapat turunkan skuad terbaik kerana kecederaan pemain utama. Hanafiah juga belum cergas sepenuhnya dari kecederaan lutut dan dia juga perlukan rehat.
“Kita harap untuk dua aksi getir yang seterusnya menentang Perak (Bison) dan Kelantan pada minggu hadapan, Fadzil boleh diturunkan. Kita tidak kisah nombor dua atau tiga, yang penting layak ke STL Champions Cup dan saya yakin peluang tetap terbuka.”
Bagi KL Thunder, kemenangan membantu mereka melonjak satu tangga ke tangga kelima dengan 10 mata, memintas ATM Guardians menerusi beza set menang.
Dalam aksi Divisyen Satu pula, Pahang Mammoth tewas buat pertama kali musim ini menerusi kekalahan 1-2 (21-10, 10-21, 19-21) di tangan Negeri Sembilan Antlers manakala PDRM Defenders menewaskan Labuan Drillers 2-0 (21-13, 21-19).
Sabah Mountaineers menewaskan PSM Knights 2-1 (21-16, 20-22, 21-16), Putrajaya Cyborg menewaskan Kedah Eagles 2-0 (21-15, 21-17) sementara Melaka Titans melakar kemenangan keenam dengan menewaskan Sarawak Hunters 2-0 (21-10, 21-15).OLEH MUHD AIMAN