Penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abdul Ghani tidak gusar dengan kehadiran tiga penyerang import baharu yang diikat pada musim ini sebaliknya bersedia untuk merebut posisi utama.

Shamil selaku Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2021 mengakui bakal berdepan persaingan sengit apabila Kelantan mengambil keputusan merekrut pemain kelahiran Brazil, Nixon Guylherme Brizolara, Kervens Belfort dari Haiti dan Fadel Mohammad Antar dari Lubnan untuk memperkuatkan barisan serangan.

Jelasnya, kehadiran ketiga-tiga penyerang tersebut akan memberi cabaran baharu kepadanya untuk lebih bekerja keras bagi merebut tempat dan bersedia untuk menimba pengalaman yang lebih berbeza daripada mereka.

“Kerja keras tu memang pasti akan ada dan tahun ini akan lebih sukar dari tahun lepas, jadi saya sendiri kena buat persiapan yang lebih baik.

“Contohnya, saya kena beri sesuatu dalam setiap perlawanan persahabatan selepas ini untuk lebih mudah mengambil tempat selepas liga bermula nanti.

“Tetapi semuanya akan bergantung kepada barisan kejurulatihan untuk memberi peluang kepada saya walaupun kita tahu pasukan ada tiga pemain import yang berkualiti, tetapi saya positif peluang tetap akan ada untuk saya”, jelasnya.

Dalam pada itu, penyerang berusia 28 tahun ini menganggap persiapan Kelantan FC pada musim ini jauh lebih baik berbanding musim lalu dan positif peluang untuk layak ke Liga Super cerah selepas tiga musim beraksi di pentas Liga Premier sejak 2019.

Apatah lagi dengan kehadiran pemain baharu seperti Khairul Helmi Johari, Osman Yusuf dan Farhan Roslan yang akan memperkuatkan skuad kendalian Rezal Zambery Yahya.

“Bagi saya persiapan memang lebih teratur kalau nak dibandingkan dengan musim lepas dan kita pun memang mengambil serius saingan liga musim ini.

“Pemain-pemain yang ada pun baik yang baharu dan yang lama saya nampak memberi impak amat baik ketika imni dan harap kami dapat beri saingan seterusnya layak ke Liga Super.

“Tetapi, kita tahu pasukan lain seperti PDRM FC dan Perak FC pun tidak kurang hebatnya dalam persiapkan pemain mereka, jadi kita tidak boleh ambil mudah”, tambahnya.

Terdahulu, dalam aksi persahabatan di Stadium UiTM semalam, Shamil berjaya meledak satu jaringan sebelum pasukan tewas 3-1 kepada Selangor FC dan The Red Warriors akan bertolak ke Sabah pada Jumaat ini untuk beraksi dalam pertandingan jemputan pra musim iaitu Piala Sabah Maju.

Selain Kelantan FC, tiga lagi pasukan Liga Super yang turut terlibat dalam kejohanan itu adalah Sabah FC, Kedah Darul Aman FC dan Sarawak United FC.

 

- Advertisement -