Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) nampaknya cukup bercita-cita besar apabila meluahkan hasrat mahu menyunting khidmat pemenang Piala Dunia 2002 bersama Brazil, Ronaldinho, untuk memperkuatkan pasukan mereka musim depan.

Bukan angan mat jenin, bukan gurauan, tetapi mereka benar-benar serius untuk memujuk bekas pemain terbaik dunia 2005 itu untuk keluar dari persaraan.

Semuanya gara-gara kenyataan spontan Ronaldinho yang menyatakan kesediaan mahu bermain di Liga Malaysia secara percuma sebagai reaksi kepada sambutan luar biasa, keghairahan serta keterujaan ditunjukkan penyokong bolasepak di sini kepadanya pada bulan April lalu ketika terbabit dengan jelajah trofi Liga Juara-Juara Eropah di ibu negara.

Sejak mengumumkan persaraan sebagai pemain professional pada Januari lalu, Ronaldinho yang berusia 38 tahun lebih banyak terlibat dengan aktiviti promosi bolasepak selain mengalihkan fokus kepada akademi bolasepak miliknya serta karier baru sebagai pemuzik.

Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata usia hanyalah satu angka dan dia berpendapat bagi pemain luar biasa hebat seperti Ronaldinho ia tidak akan menjadi masalah besar untuk kembali berada pada tahap prestasi terbaiknya.

“Setakat Liga di Asia saya percaya sudah tentu tidak menjadi masalah buatnya. Pengalamannya amatlah kita tagih jika kita bermain di peringkat kelayakan Liga Juara Asia (ACL) pada Februari nanti dan dia juga boleh menarik minat penaja dan pelabur.

“Jika benar dia mahu bermain secara percuma, apa salahnya dia berbakti di negeri Perak. Saya bersedia membuka pintu untuk dia datang ke sini. Jika ada ejen yang boleh menghubungkan saya dengan pemain itu, amatlah dialu-alukan supaya kita boleh berunding dengannya,” kata Hasnul.

Untuk rekod, selain memenangi trofi Piala Dunia bersama pemain zaman emas Brazil ketika itu antaranya Ronaldo, Rivaldo, Roberto Carlos, Cafu dan Kaka, Ronaldinho turut pernah mengecap pelbagai kejayaan dan pencapaian hebat secara individu termasuklah Anugerah Pemain Terbaik Dunia sebanyak dua kali pada 2004 dan 2005. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -