Oleh Muhammad Aiman
Kem fasa akhir persediaan atlet dan raptai penuh kontijen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan Ogos depan.
Ketua kontijen negara, Datuk Marina Chin berkata, “Pengurusan pasukan bercadang adakan kem fasa terakhir pada Ogos di mana kita adakan ‘dry run’ (raptai) pada ketika itu.
“Sebagai contoh, dari Renaissance (hotel) pergi ke tempat pertandingan dan sebagainya supaya kita boleh nampak sekiranya wujud masalah pengangkutan, makanan dan sebagainya. Kita akan kenalpasti masalah dan selesaikan sebelum Sukan Sea bermula.”
Marina pada Sabtu mengadakan sesi taklimat bersama pengurus dan wakil-wakil dari persatuan-persatuan sukan yang terlibat dengan KL2017.
Menurutnya, “Kami telah sampaikan beberapa maklumat terkini daripada seminar yang telah diadakan pada 18 – 19hb tempoh hari, tentang penginapan, tentang jadual terkini, tentang majlis perasmian dan penutup dan sebagainya.
“Selain itu, kita adakan taklimat daripada Institut Sukan Negara tentang perkhidmatan Sains Sukan yang diadakan mulai sekarang sampai berlangsung Sukan Sea, dan juga perkhimatan perubatan yang akan disediakan mulai sekarang, kepentingan borang-borang yang perlu mereka isi supaya pengurusan pasukan akan lebih peka dan prihatin di dalam menyediakan pasukan sebaik mungkin. Atlet pula boleh fokus kepada latihan dan pertandingan.”
Marina juga memaklumkan bahawa aturan sedang dibuat bagi membolehkan atlet-atlet dapat menggunakan gelanggang pertandingan yang sudahpun siap bagi menjalani latihan untuk memacu prestasi mereka ke tahap yang lebih optimum.
“Memang daripada 2015 kami sudah maklumkan bahawa venue sedang dinaiktaraf dan sebagainya. Ada beberapa venue dah siap, bagi venue dah siap kita telah mengaturkan agar atlet boleh pergi menggunakan venue tersebut.”
Dalam perkembangan lain, Marina turut mengucapkan tahniah kepada 32 atlet dari Program Kita Juara yang tersenarai ke dalam Program Podium dan dalam masa sama berharap atlet yang telah digugurkan dari program itu menjadikan ianya sebagai cabaran untuk membuktikan wibawa dan tingkatkan prestasi.