Aksi pembukaan Piala Super Boost Sportsfix 2018 menyaksikan kemenangan memihak kelab dari Indonesia, Persija Jakarta yang menewaskan wakil Thailand, Ratchaburi Mitr Phol 3-1.

Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi venue bagi perlawanan melibatkan tiga negara buat julung kalinya bagi tahun 2018 selepas ditutup untuk kerja kerja menaik taraf bagi temasya Sukan SEA 2017 Ogos lalu.

Kehadiran ultras Persija nyata menyuntik semangat skuad kendalian Stefano Cugurra yang hanya memerlukan lapan minit untuk memka tirai gol menerusi penyudah kemas pemain import, Marko  Simic hasil gerakan serang balas.

Dua minit berselang, Persija dihadiahkan sepakan penalti, namun Simic gagal menewaskan penjaga gawang, Chinnapong Raksri untuk kali kedua.

Ratchaburi yang tampak longlai diawal permainan semakin menemui keserasian apabila mula menguji kubu lawan selepas minit ke 15 perlawanan.

Peluangterbaik mereka untuk menyamakan kedudukan hadir di minit ke 24, namun tandukan pemain tengah, Apiwat Ngualamhim gagal menemui sasaran.

Tiga minit berselang, kesilapan pemain pertahanan Persija Jakarta mengawal bola membuka ruang kepada Sila Srikampang untuk meledak gol, namun ketangkasan penjaga gawang, Muhammad Rizky menafikan hasrat Ratchaburi untuk menyamakan kedudukan.

Gol yang dicari Ratchaburi hadir di minit ke 29, hasil rembatan padu Philip Roller berpunca daripada sepakan sudut rakan sepasukan.

Permainan semakin rancak dengan serangan bertali arus kedua dua pasukan untuk memburu gol sekaligus mendahului saingan.

Tuah memihak Persija Jakarta di minit ke 38 apabila kembali mendahului hasil tandukan Jamierson da Silva Xavier Jr untuk kedudukan 2-1 kekal hingga tamat babak pertama perlawanan.

Aksi separuh masa kedua terus didominasi Persija Jakarta yang lebih banyak berkampoung di kotak penalti Ratchaburi FC.

Serangan bertali arus akhirnya menjelmakan gol ketiga skuad kendalian Cugurra di minit ke 53 hasil percubaan jarak dekat Novri Setiawan susulan aksi kelam kabut di dalam kotak penalti pasukan lawan.

Tiada pertambahan jaringan menyaksikan kedudukan 3-1 memihak Persija Jakarta kekal hingga tamat perlawanan.

Persija Jakarta akan kekal di lembah kelang untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi perlawanan kedua, menentang Kelantan FA pada Selasa 16 Januari depan.

 

Komen jurulatih :

STEFANO CUGURRA

Permulaan yang baik untuk kami dan perlu membentuk lebih keserasian dalam serta memperbaiki kekurangan yang dapat dilihat pada perlawanan hari ini.

Matlamat utama persiapan kami adalah mengharungi Piala AFC dan akan berdepan pasukan dari Malaysia, Singapura dan Vietnam.

Saya berpuas hati dengan prestasi Marko Simic kerana berjaya menjaringkan gol selain bermain dengan baik.

Pertemuan dengan Kelantan, kami perlu menambah jumlah penyokong dan tidak dinafikan mereka adalah pasukan yang kuat dan dibarisi pemain tempatan yang baik serta pemain import, Bruno adalah baik kerana dia adalah bekas pemain kelab ini.

SOMCHAI MAIWELAI

Christian Ziege baru tiba dan menyertai sesi latihan pasukan kurang dari seminggu dan dia mahu mencuba sesuatu yang baru.

Keputusan yang terhasil pada malam ini bukan tujuan utama masih ada ruang untuk diperbaiki dan kami akan perkuatkan barisan pertahanan dan serangan selepas ini.

- Advertisement -