Oleh Muhammad Aiman
Lima kemenangan dan masih tidak tewas di gelanggang lawan. Terbaru, menewaskan pasukan tangga kedua, Pahang dengan jaringan 3-2 di Stadium Darul Makmur pada ketika pasukan masih dihimpit pelbagai kontroversi termasuk isu pemotongan mata dan tunggakan gaji pemain.
Maka, tidak hairanlah pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail cukup berbangga dengan semangat juang dan komitmen ditunjukkan barisan pemainnya turut menoktahkan rekod tanpa kalah tuan rumah di gelanggang sendiri sekaligus membuktikan fokus mereka tidak terganggu.
“Pahang sebuah pasukan yang kuat, semua pastinya memilih Pahang untuk menang, mereka juga kebal di Kuantan. Tetapi pemain saya membuktikan motivasi mereka tidak terjejas. Saya beritahu pemain supaya ketepikan segala isu dan fokus beri prestasi terbaik dan mereka lakukannya dengan cemerlang.
“Adalah penting kita mulakan aksi pusingan kedua dengan kemenangan, dengan positif kerana selepas hilang enam mata, kita perlu memburu sebanyak mungkin mata untuk berada di kedudukan yang baik. Kita sudah banyak cicirkan mata di pusingan pertama terutama di gelanggang sendiri, jadi saya harap kemenangan ini menjadi tonik buat kita,” ujar Zahasmi.
Pada perlawanan itu, Kelantan membawa pulang tiga mata hasil jaringan pemain import yang bakal digugurkan pada jendela perpindahan kedua, Alesandro Celin pada minit ke-17 manakala penyerang import sensasi, Mohamed Ghaddar menyumbang dua gol pada minit ke-72 dan 79.
Kemenangan membolehkan Kelantan melonjak satu tangga ke tangga ketujuh dengan 13 mata namun kedudukan mereka mungkin berubah seandainya Felda United berjaya menewaskan Pulau Pinang dalam satu lagi aksi yang dijadual berlangsung Ahad.
Berakhir perlawanan menentang Pahang, Kelantan akan berehat hampir 18 hari bagi memberi laluan kepada berlangsungnya perlawanan separuh akhir dan akhir Piala FA. Lawan mereka yang seterusnya adalah Pulau Pinang pada 24 Mei di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.
Ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Bandaraya awal bulan lalu, Kelantan menewaskan Pulau Pinang dengan jaringan 5-1, di mana Ghaddar menjaringkan empat gol. Untuk rekod, Ghaddar ketika ini mengharungi musim paling cemerlangnya dalam saingan Liga Malaysia, sedang mendahului carta penjaring dengan 18 gol.