UniKL Ladies mencatat kemenangan ketiga berturut-turut untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga selepas menumpaskan PKS Uniten-KPT 3-0 pada perlawanan Liga Hoki Malaysia (Wanita ) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini. 

Dua jaringan pantas Fazillah Sylvester Silin dan Nuramirah Shakirah Zulkifli dalam tempoh tiga minit pada suku keempat memastikan kemenangan mutlak UniKL Ladies sekaligus meletakkan skuad bimbingan Roslan Jamaluddin di landasan tepat untuk menjulang kejayaan berganda pada penampilan pertama mereka. 

Gol pembukaan penjaring terbanyak Nuraini Abd Rashid seawal minit ke-6 menerusi pukulan sudut penalti memulakan rentak kemenangan buat UniKL Ladies.  Begitupun, Uniten memberi tentangan sengit dan sukar untuk mereka melebar jaringan sehinggalah permainan memasuki suku keempat. 

Fazillah meniup keyakinan buat rakan sepasukan menerusi jaringan padang pada minit ke-46 sebelum Nuramirah mengegar gawang tiga minit kemudian. 

Berdasarkan prestasi terkini, pastinya UniKL menjadi pilihan utama mengutip mata penuh dalam baki dua perlawanan berdepan Sabah dan Young Tigress seterusnya menjulang kejuaraan.

Jurulatih Roslan Jamaluddin: “Memang kita jangkakan saingan sengit dari PKS Uniten kerana masing-masing perlukan mata kemenangan. Kami lega kerana mendapat mata maksimum dan apa yang penting kini ialah memastikan momentum sehingga akhir liga.”

Bagi jurulatih Uniten-KPT, Lailin Abu Hassan, barisan pemain melakukan beberapa kesilapan yang membolehkan gawang mereka dibolosi.

“Tahniah kepada UniKL, kini kami perlu bersedia untuk dua perlawanan seterusnya menentang Mutiara Juniors dan Sabah untuk memastikan tempat kedua dalam liga tidak terlepas,” kata beliau. 

PDRM BLUE WARRIORS 6 – 0 SABAH

PDRM Blues Warriors mencatat kemenangan pertama Liga apabila mudah mengatasi Sabah 6-0 yang sekaligus memanjat tangga ke-3 liga selepas tiga perlawanan. 

Dua gol jaringan padang Nur Syafiqh Mohd Zain membantu memastikan tiga mata penuh sekaligus melonjakkan kedudukan skuad Blue Warriors dalam kedudukan keseluruhan Liga. 

Selepas sekadar mengutip satu mata dari dua perlawanan, PDRM turun dengan tekad memastikan kemenangan ke atas skuad muda Sabah. 

Selepas gol pembukaan menerusi  Nur Syafiqah pada minit ke-4 dan ke-33, Liyana Aqilah Mohd Sepawi menemui sasaran pada minit ke-37 dikuti Fatin Shafika Mohd Sukri pada minit ke-44. 

Wan Norfaiezah Md Saiuti dan Nurul Safiqah masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-52 dan 53 untuk melengkapkan kemenangan besar PDRM. 

Sabah, yang turun dengan status sebagai pendahulu bersama liga, jelas gagal menyaingi corak permainan kemas PDRM yang jelas menguasai tempo perlawanan. Biarpun mengalami kekalahan pertama,  kedudukan Sabah di tempat kedua tidak berubah dengan enam mata.

Perlawanan sukar menanti Sabah dalam baki dua perlawanan menentang pendahulu UniKL Ladies Isnin ini dan PKS Uniten-KPT pada 24 Mac. 

Bagi PDRM , kemenangan itu membolehkan mereka memintas PKS Uniten-KPT pada kedudukan ketiga dengan mata yang sama tetapi dengan jaringan yaglebih besar, lapan gol berbanding 5 mata yang diraih PKS Uniten-KPT setakat ini.

Ketua jurulatih PDRM Ahmad Nizam Yusof lega dengan tiga mata penuh yang berharap ia membuka peluang untuk pasukannya terus mengukuhkan kedudukan dan layak ke separuh akhir Piala TNB Liga. 

Jumlah enam mata maksimum menerusi baki dua perlawanan menentang Young Tigress dan Mutiara Juniors pasti menjadi sasaran PDRM untuk terus memperbaiki kedudukan seterusnya memburu piala musim ini. 

Young Tigress 8 – 2  Mutiara Juniors-PSHA

SKUAD muda Young Tigress meraih kemenangan pertama apabila cemerlang menumpaskan Mutiara Junior-PSHA 8-2 pada perlawanan membabitkan dua pasukan muda negara. 

Dian Nursyakira Najwa menjadi tunjang Young Tigress apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-5, 28, dan 30 manakala Dayang Nuramirah Abang Mahadani (minit ke-22 dan 47) dan Nur Syaza Afiqah (minit ke-51, 52) masing-masing menyumbang dua gol.  

Hasya Syahida Saifudin (minit-38) melengkapkan kemenangan 8-2 ke atas Mutiara Juniors yang kini tewas dalam kesemua tiga perlawanan mereka setakat ini. Tugas berat menanti mereka apabila berdepan Uniten-KPT dan PDRM Blue Warriors pada dua perlawanan seterusnya. 

Jurulatih Young Tigress A. Kannagi lega dengan kemenangan pertama pasukannya dan secara keseluruhan puas hati dengan persembahan anak buahnya. 

“Untuk terus perbaiki kedudukan, kami perlu benar-benar fokus dalam perlawanan menentang PDRM Isnin ini biarpun mereka pasukan pilihan. Apa pun boleh berlaku di atas padang,” ujar beliau. 

 

KEPUTUSAN PENUH:

PKS Uniten-KPT 0 -3 UniKL Ladies

PDRM Blue Warriors 6 – 0 Sabah

Young Tigress 8-2 Mutiara Juniors

 

JADUAL PERLAWANAN:

Isnin, 22 Mac 2021

Mutiara Juniors mln PKS Uniten-KPT

Young Tigress mln PDRM Blue Warriors

UniKL Ladies mln Sabah

- Advertisement -