11March-9

11March-24

MENGAKUI dia bukan pakar dalam pendakian apabila tercicir jauh pada Peringkat 3 Le Tour de Langkawi 2015 di Tanah Merah semalam, pakar pecut Astana Andrea Guardini bingkas menguasai saingan di laluan landai dengan memenangi Peringkat 4 dari Kota Bharu ke Kuala Berang, hari ini.

Pelumba kelahiran Itali berusia 26 tahun itu kembali menjadi tumpuan dengan henjutan bergaya untuk menang selesa, menewaskan Jakub Mareczko (Southeast) dan penyarung jersi kuning dari Orica GreenEdge, Caleb Ewan, mengetuai kelompok besar pelumba menamatkan kayuhan sejauh 165.4km itu dalam masa 3 jam 43 minit 14 saat.

Ia adalah kemenangan peringkat ketiga pada edisi ke-20 ini, dan ke-17 keseluruhan bagi Guardini sejak tampil bersama Farnese-Vini pada LTdL 2011.

Namun Ewan, 20, yang membuka mata ramai apabila merampas kedua-dua jersi Guardini semalam, kekal dengan status pendahulu keseluruhan, dengan catatan terkumpul 14j 46 minit 2 saat, 17 saat di depan pencabar terdekat dari MTN-Qhubeka, Natnael Berhane, selain mengekalkan gelaran Raja Pecut dengan kini 56 mata, 11 mata di depan Guardini.

Dengan satu pendakian mudah kategori 4, penyarung jersi merah Raja Bukit, Riel Reijnen (UnitedHealthCare) masih unggul 19 mata di depan Berhane, begitu juga penyarung jersi putih pelumba terbaik Asia yang kekal menjadi milik Zhang Wen Long (Giant-Champion Systems).

Jarak yang dianggap pendek dan landai dari Kota Bharu itu seperti dijangka, akan menyaksikan banyak cubaan pelumba pasukan lain untuk meloloskan diri tetapi hanya cubaan sekumpulan lima pelumba, yang kemudian disertai dua lagi – berjaya berada di depan peloton sebaik menghampiri zon pecutan pertama di Pasir Puteh selepas berkayuh 36 kilometer.

11March-26

11March-17

Kumpulan tujuh pelumba itu – Jonathan Clarke (UnitedHeakthCare); Pierre-Luc Perichon (Bretagne-Seche); Elchin Asadov (Synergy Baku); Vladimir Gusev (SkyDive); Jamalidin Novardianto (Pegasus), yang disertai Nazim Bakirci (Torku Sekespor) dan Wang Meiyin (Hengxiang) kemudian menguasai dua zon pecutan seterusnya di Jertih (54.7km) dan Permaisuri (93.3km) serta zon pendakian di Sungai Tong (123.1km) sebelum peloton mula meningkatkan kayuhan untuk mengejar dan mengangkap kumpulan pelumba depan itu.

Guardini berkata, rakan sepasukannya serta beberapa pasukan lain bekerja keras untuk mengawal perlumbaan dan mengejar kumpulan di depan itu untuk memastikan laluan landai berkenaan menjadi milik pakar pecut.

“Saya gembira dengan kemenangan (ke-17) ini dan membuktikan saya masih mempunyai tenaga walaupun tercicir jauh semalam, tetapi saya tetap mendapat cabaran pelumba pecut lain dan bersaing hebat dengan pelumba Southeast itu (Mareczko).

“Memang di atas kertas saya nampak kuat tetapi hakikatnya saya perlu bekerja keras setiap hari dan membuktikannya di atas jalan raya. Ada ramai pakar pecut yang bagus di sini dan ceritanya sering kali berbeza di atas laluan berbeza,” kata Guardini.

Sementara itu, Ewan yang hadir dengan prestasi membanggakan hasil dua kemenangan peringkat dalam Herald Sun Tour dan membuktikan turut mampu dalam pendakian sukar, mengakui agak sukar untuk mencabar Guardini sekali lagi.

“Keadaan agak kelam-kabut dan saya terlambat dan tidak dapat memulakan pecutan pada jarak 100 meter terakhir itu. Namun saya berpuas hati kerana rakan sepasukan dapat mengawal kumpulan kecil yang membuat pemecahan.

“Kami sentiasa berbincang untuk strategi seterusnya dan saya juga dalam proses belajar untuk berada di belakang pelumba pembantu dan memilih masa yang tepat untuk memulakan pecutan,” kata pelumba kacukan Australia-Korea kelahiran Sydney itu.

Mengenai kelebihan 17 saat dalam klasifikasi individu keseluruhan, naib juara dunia B-23 itu berkata, dia tidak mahu memikir terlalu jauh kerana sedar kelebihan itu bukanlah jurang yang selesa terutama apabila tiba pendakian sebenar ke Bukit Fraser nanti.

Namun, Ewan mengakui dia mengintai kemungkinan memenangi satu lagi peringkat kerana laluan ke garisan penamat yang agak mendaki di Kuantan esok menjadi kegemarannya.

Peringkat 5 LTdL esok adalah peringkat terpanjang sejauh 200km, bermula dari Dataran Pantai Burok di Kuala Terengganu ke Kuantan.

11March-33

11March-63

PICTURES by www.asiana.my

 

 

- Advertisement -