Suasana sesi latihan skuad hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Stadium Tengku Abdullah, Bangi semalam tampak serius ketika juara Piala TNB 208 itu bersiap bagi menghadapi dua aksi penting Liga Premier, minggu ini.
Skuad kendalian Arul Selvaraj bakal membuat perhitungan dengan Maybank pada Jumaat ini dan dua hari kemudiannya menerima kunjungan Terengganu Hockey Team (THT) di laman mereka itu.
Trio import Belanda Robbert Kemperman, Martijn Havenga dan Valentin Verga serta Kieran Govers dari Australia dilihat bekerja keras dalam sesi latihan sebelah petang itu dalam usaha meningkatkan keserasian bersama beberapa pemain tempatan.
Penjaga gol dari Ireland, David Harte dan rakan seposisinya Adrian Andy Albert turut mengharungi latihan intensif di bawah pemerhatian Arul.
Namun, tiga pemain negara diketuai Marhan Mohd Jalil, Sukri Mutalib dan pakar pukulan sudut penalti, Razie Abd Rahim tidak kelihatan kerana mengikuti latihan kem kebangsaan bagi persediaan awal menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Mac depan.
Mereka dijangka kembali menyertai semula rakan sepasukan dalam sesi latihan esok.
Bagaimanapun, semasa tempoh rehat beberapa minit dalam sesi latihan semalam, keadaan bertukar menjadi ceria apabila Kemperman mengakui dia berasa gembira dengan kedudukan UniKL sebagai peneraju liga di depan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Bintang Belanda itu bagaimanapun terkejut apabila diberitahu bahawa sebenarnya UniKL ketika ini sekadar menghuni tangga kedua liga dengan 13 mata – dua mata dibelakang TNB dengan THT dikedudukan ketiga dengan 12 mata.
“Tidak mungkin!,” tegasnya dalam nada terkejut. “Kami sudah tewaskan TNB sebelum ini dan seri dengan THT. Bagaimana ia boleh berlaku? OK, jadi kami di kedudukan kedua liga. Tetapi saya tidak akan benarkan ia berterusan.
“Kami akan kembali ke persada liga. Saya menaruh kepercayaan terhadap pasukan ini, kami terus meningkat dari satu perlawanan ke perlawanan dan liga masih panjang.
“Kekal tenang dan terus yakin. Ini pesanan saya kepada rakan sepasukan. Kami perlu terus berlatih dan meningkatkan aksi. Kami (pemain impor) sudah dua minggu di sini dan kami makin sesuaikan diri dengan cuaca, peminat dan budaya tempatan,” katanya.
“Kami makin mendapat rentak. Kami juga semakin kuat dari segi mental dengan apabila ketinggalan kami berupaya untuk bangkit mengejar,” kata Kemperman.
Bekas penyerang Australia, Kieran Govers yang pernah merangkul tiga Trofi Juara-Juara turut sependapat dengannya apabila memberitahu kadang kalanya ia menjadi sukar kerana mereka perlu menjalani latihan tanpa tiga tonggak negara namun tidak menolak peluang itu seharusnya dimanfaatkan pemain muda yang lain.
“Arul sentiasa merancang taktikal perlawanan yang bagus dan kami perlu mengikut arahannya dengan harapan kemenangan berpihak kepada kami. Dalam dua perlawanan sebelum ini kami membenarkan lawan menjaringkan gol awal.
“Saya fikir ia kerana kami sentiasa menjangkakan untuk terlebih dulu menjaringkan gol dan kadang kalanya tidak semestinya persembahan yang baik menjaminkan gol.
“Namun sebaik kami menukar permainan ke gear enam kami mampu mengubah perlawanan dengan menjaringkan tiga gol dalam tempoh lima minit,” kata Govers.
“Sudah beberapa kali kami memulakan aksi dengan perlahan. Banyak kali ia sudah dibincangkan dan kami cuba memperbaikinya. Kami melihat Maybank hampir menewaskan THT sebelum ini. Mereka adalah sebuah pasukan yang bagus.Â
“Setiap pasukan mampu melakar kemenangan jika bekerja keras. Tidak bermakna apabila anda diperkuatkan pemain antarabangsa semuanya akan menjadi mudah… Segala-galanya boleh terjadi jika pasukan bawahan beraksibaik. Ia amat berbahaya untuk kami memandang remeh keupayaan pasukan lain.”