Oleh Ku Mohd Lufti
Pemain Jepun, Kenichi Tago meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan 20 terbaik dunia selepas suram akibat kecederaan.
Pemain berusia 26 tahun ini mengalami kecederaan buku lali sekaligus terpaksa berehat hampir 6 bulan untuk menjalani proses pemulihan.
“Saya mengharapkan untuk berada dalam kedudukan 20 terbaik dunia agar dapat berada di dalam undian utama. Ketika ini saya perlu bermain di pusingan kelayakan, agak sukar untuk meletakkan sasaran jika bermain di pusingan kelayakan,” kata Kenichi.
Ketika ini, Tago menduduki ranking ke 65 dunia dalam senarai kedudukan pemain perseorangan yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Mengulas tentang penyertaannya di Terbuka Malaysia, Kenichi Tago tidak meletakkan sebarang sasaran, hanya mahu memberi tumpuan terhadap perlawanan demi perlawanan.
Beliau melakar kemenangan ke atas pemain Malaysia, Chong Wei Feng di pusingan pertama.
Tago bagaimanapun tewas 7-21 di set pertama, namun bangkit memperkemaskan permainan untuk melakar kemenangan 21-7 di set berikutnya.
Pemain kelahiran Chiba ini semakin mendapat rentak permainan yang mantap untuk meraih mata ke atas Wei Feng.
Selepas bertarung selama 43 minit, Kenichi Tago mengesahkan kemenangan 21-17 untuk mara ke pusingan kedua.
Rakan senegara Tago, Kenta Nishimoto turut mengikuti jejak rakannya selepas menamatkan cabaran pemain Malaysia, Soong Joo Ven.
Nishimoto hanya diberi tentangan sengit di set pertama sebelum menang 23-21, namun tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan 21-13 di set kedua.
Turut mengesahkan slot ke pusingan kedua, pemain Indonesia, Christie Jonathan yang menundukkan seorang lagi pemain Malaysia, Zulfadhli Zulkifli.
Pemain ranking ke 37 dunia ini mudah mengatasi Zulfadhli 21-10 di set pertama.
Christie terus memberikan persembahan yang konsisten di set kedua dan hamper pasti menang ketika kedudukan 20-17 pada satu ketika.
Namun kealpaan mengundang padah apabila Zulfadhli bagkit dengan permainan yang aggresif sekaligus mengikat kedudukan 20 sama.
Pertarungan nyata sengit dipamerkan kedua dua pemain yang saling berkejaran mata sehingga kedudukan terikat 25 sama.
Christie yang menduduki ranking ke 37 dunia memanfaatkan peluang selepas Zulfadhli banyak melakukan kesilapan  untuk melakar kemenangan 27-25 selepas bertarung 49 minit.