Football Association of Malaysia (FAM) Logo - 230x250Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada petang Jumaat lalu (27 November 2015) telah menerima surat daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Dato’ Zaiton Othman berhubung tindakan terhadap persatuan ini di atas insiden kekecohan penonton ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, Malaysia lwn Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada 8 September 2015.

 Dalam surat berkenaan, Dato’ Zaiton menyatakan bahawa pihaknya sudah meneliti surat penjelasan yang dihantar oleh FAM pada 21 September lalu dan berpandangan masih terdapat kelemahan yang boleh ditambah baik oleh FAM dalam usaha menangani isu-isu dan permasalahan ini.
 
Dato’ Zaiton turut menegaskan bahawa FAM adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden tersebut dan memutuskan FAM perlu mengambil tindakan segera dalam melaksanakan tiga perkara berikut:
1. Memperketatkan peraturan-peraturan sedia ada supaya lebih kemas dan teratur dengan mewujudkan tatacara ‘crowd management measures’ bersama-sama dengan pihak pengurusan stadium.
2. Memperkemaskan dan memperketatkan Standard Operating Procedure (SOP) keselamatan dengan lebih terperinci untuk jaminan keselamatan yang lebih baik dan efisien.
3. Menambah baik sistem atau ‘screening’ pemeriksaan penonton termasuk ke atas para peniaga yang terlibat dengan perniagaan di dalam venue.
Justeru, FAM adalah mengambil maklum serta prihatin dengan semua saranan dan cadangan yang dikemukakan oleh pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia itu.
Di peringkat FAM, kami akan mengambil tindakan sewajarnya supaya tiga perkara di atas ini dapat dilaksanakan bagi memastikan insiden seperti yang berlaku itu tidak berulang lagi.
Setakat ini, FAM melalui Jawatankuasa Keselamatan yang dipengerusikan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dato’ Muhammad Fuad Abu Zarim telah mengambil beberapa langkah susulan.
Antaranya memperkenalkan satu peraturan khas yang bakal dijadikan asas untuk aspek kawalan dan keselamatan stadium termasuk hal menjaga ketenteraman dan harta benda awam.
Peraturan itu nanti akan turut menyediakan satu SOP kawalan dan keselamatan stadium, bukan sekadar untuk perlawanan antarabangsa, bahkan juga semasa penganjuran pertandingan-pertandingan peringkat domestik.
Pembentukan peraturan yang masih lagi dalam proses penyediaan peringkat awal itu akan turut mengambil kira konsep dan amalan yang dibuat di peringkat FIFA dan UEFA.
DATO’ HJ HAMIDIN HJ MOHD AMIN
SETIAUSAHA AGUNG FAM
30 NOVEMBER 2015
- Advertisement -