Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk berusaha meneruskan saingan Liga Malaysia (LIga M) bagi musim 2020 adalah satu keputusan yang betul.

Bagi jurulatih Selangor, B Sathianathan, industri sukan bolasepak di Malaysia perlu diteruskan meskipun senario pandemik Covid 19 masih belum menampakkan sebarang tanda noktah.

“MFL dan FAM melakukan keputusan yang tepat. Industri bolasepak perlu diteruskan dan bagi saya kita tidak boleh batalkan musim ini.

“Keputusan yang dibuat adalah betul dan bersedia untuk melihat apakah prosedur operasi standard (SOP) yang akan diberikan,”kata Sathia.

 

 

Hanya yang menjadi kerunsingannya adalah perancangan untuk mendapatkan perlawanan persahabatan sebelum Liga M disambung semula.

Pandangan yang sama turut disuarakan pemerhati bolasepak negara yang juga bekas pemain kebangsaan dan pernah mengendali Sarawak, Jalil Rambli.

 

 

“Situasi semasa Covid 19 dan PKP ketika ini, adalah tidak wajar untuk menyambung semula Liga M.

“Kita perlu melihat perkembangan semasa dan sebahagian sektor ekonomi akan dibuka bermula 4 Mei dan kita perlu pantau kerana jika ada lagi kes positif Covid 19 maka ia bermakna liga Malaysia masih belum bersedia untuk diteruskan,”kata Jalil.

APA KATA MEREKA:

“Saya serahkan kepada kerajaan untuk memilih apa yang penting untuk rakyat.” – Datuk K Rajagobal

 

 

 

“MFL boleh teruskan (Liga M) tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Nyawa lebih penting daripada bolasepak” – Lucas Kallang, Jurulatih Sarawak.

 

 

 

MFL bercadang untuk menghantar semula cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan kelulusan untuk memulakan saingan Liga M pada September selepas cadangan untuk meneruskan liga domestik bagi tahun ini pada Jun ditolak.

Andai diluluskan, saingan Liga M dijangka hanya dilangsung separuh musim manakala hanya Piala Malaysia sahaja yang akan diteruskan dengan format kalah mati, manakala Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei mengumumkan aktiviti yang mempunyai sentuhan secara langsung seperti body contact yang sering berlaku di dalam sukan bola sepak dan ragbi tidak dibenarkan.

Apa sahaja keputusan yang akan ditetapkan samada MKN mahupun KKM selepas ini, pertimbangan untuk memberi ‘ruang’ kepada industri bolasepak adalah wajar dengan kadar segera walaupun ianya bersifat tempoh percubaan untuk melihat kesan sampingan samada wujud jangkitan positif Covid 19 melibatkan pemain, pegawai pasukan, pegawai pertandingan sukarelawan dan semua pihak yang terlibat khususnya ketika perlawanan.

Menghadkan jumlah individu yang berada di dalam stadium sepanjang perlawanan mungkin boleh dilakukan selain peraturan perlawanan secara tertutup tanpa penyokong mungkin boleh dipertimbang kerana segala maklumat individu yang berada di dalam stadium pastinya akan direkodkan andai berlaku sebarang jangkitan.

Tidak dinafi matlamat utama MKN dan KKM adalah memutuskan rantaian Covid 19 yang dilihat semakin menampakkan keputusan yang positif semakin hari.

Namun, pada masa yang sama, diharapkan juga MFL terutamanya untuk melakukan kajian, perbincangan dan penilaian melibatkan pelbagai pihak termasuk dengan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) untuk mencari sebarang kemungkinan untuk menyambung semula Liga M.

 

 

- Advertisement -