Oleh Ku Mohd Lufti
Dengan baki tiga lagi perlawanan sebelum kalendar musim 2016 melabuhkan tirainya, pasukan Terengganu tampak masih belu menemui tonik untuk memperbaiki prestasi hambar setakat ini.
Skuad Peteh hanya dibezakan dengan 1 mata didepan Pulau Pinang yang mengumpul 18 mata selepas mengharungi 19 perlawanan Liga Super musim 2016.
Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat menjelaskan, kerajaan negeru sedang menyiasat punca kemerosotan pasukan Terengganu yang dianggap hilang semangat.
“Saya tengok perlawanan baru-baru ini memang sangat lemah, tak tahu apa masalah sebenar…pemain tidak bermaya dan tidak nampak taktikal pasukan.
“Kalau nak kata pemain punca kelemahannya, kita sebenarnya memiliki antara barisan pemain tempatan yang terkuat dalam liga…apa yang berlaku hingga menyebabkan prestasi sebegitu teruk, saya pun tak tahu,” kata Datuk Rozi.
Terengganu berdepan tugas sukar da;am baki tiga perlawanan, bertemu pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) ditempat lawan pada 9 September sebelum menentang Kedah pada 24 September dan menamatkan musim dengan menentang Pulau Pinang pada 22 Oktober.
Datuk Rozi juga memberi bayangan skuad Peteh akan dirombak secara besar besaran dan ia akan diumum oleh Menteri Besar yang juga Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Ahmad Razif Abdul Rahman.
“Memang sekarang ini Terengganu FA berada dalam keadaan tenat dan saya harap pemain akan kembali bangkit dan bermain bersungguh-sungguh untuk mengutip mata penuh dalam baki tiga perlawanan.” Katanya lagi.
Dengan baki tiga perlawanan, Datuk Rozi mengharapkan Terengganu mampu mengikuti jejak pasukan ‘adik’ T Team untuk kekal didalam Liga Super musim depan.