KERJASAMA dengan pelbagai agensi beruniform kerajaan amat penting bagi memastikan kelancaran penganjuran temasya Kuala Lumpur 2017 yang bermula Ogos ini.

Kerjasama dengan agensi seperti pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis DiRaja Malaysia selain Malaysia Arlines penting bagi kemasukan dan pergerakan kontinjen dari 10 negara Asia Tenggara nanti tidak berdepan masalah.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL2017 telah menjalinkan kerjasama rapat dengan agensi beruniform Kastam DiRaja Malaysia sektor dengan mengadakan mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan bersama oleh  Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC Dato Seri Zolkples Embong bersama-sama Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali.

Perbincangan tertumpu kepada penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) pergerakan kontinjen yang terdiri daripada atlet, pegawai, dan jurulatih bagi memudahkan proses dokumentasi. 

Aspke lain yang diberi penekanan ialah kaedah komunikasi yang efisien melibatkan pintumasuk utama seperti KLIA, KLIA 2, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Terengganu dan pintu masuk darat di Johor Bahru dan Bukit Kayu Hitam.

Untuk memastikan kelancaran kemasukan senjata api bagi sukan menembak, Dato’ Seri Zolkples berkata MASOC telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Menembak PDRM untuk memantau kelengkapan. Begitu juga, bagi sukan ekuestrian, pegawai khas juga ditempatkan untuk memastikan kelancaran kemasukan kuda-kuda dari negara luar.

Selain Sukan SEA, proses dokumentasi dan pergerakan atlet dan pegawai Sukan Para ASEAN juga dibincang khususnya bagi atlet berkerusi roda. “Mesyuarat ini akan teruskan menjelang bermula KL2017 nanti untuk kita pastikan semua pihak bersiap sedia terima kemasukan besar kontinjen dan atlet nanti,” kata Dato Seri Zolkples.

Seramai lebih 10,000 atlet, pegawai dan pegawai teknikal dijangka hadir bagi Sukan SEA ke-29 yang akan berlangsung dari 19-30 Ogos ini.  

- Advertisement -