MOM ADECO 2

Oleh Muhammad Aiman

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama syarikat perunding sumber manusia terkemuka dunia, Adecco Group hari ini melancarkan Program Kerjaya Atlet di Malaysia yang bertujuan membantu transformasi atlet dari lapangan sukan ke dunia professional.

Menerusi program ini, atlet akan diberi tunjuk ajar dan sokongan untuk membantu pengurusan kerjaya mereka serta menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan sebaik berakhir zaman mereka sebagai atlet, selain turut menyediakan peluang pekerjaan menerusi bengkel dan latihan kerjaya.  

Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Jaafar yang menyempurnakan majlis ini bagi pihak MOM berkata inisiatif diambil MOM ini adalah sebagai jaminan masa depan atlet dan ianya selaras dengan program Pendidikan Karier Atlet Malaysia (MACE) yang dilancarkan Majlis Sukan Negara pada hujung bulan lalu.

“Perbincangan telah lama berlaku bersama Adeco dan kita gembira untuk akhirnya melancarkan program ini di Malaysia. Kita juga mahu menyelaras program ini dengan MACE yang dilancarkan bulan lalu agar ianya memberi manfaat sebaik mungkin kepada atlet, terutamanya atlet elit. 

Program Kerjaya Atlet diwujudkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dengan kerjasama Adecco pada 2005. Program ini memberikan tunjuk ajar dan sokongan dalam tiga aspek penting iaitu pendidikan, kemahiran hidup dan pekerjaan.

Selain menyediakan bengkel dan latihan kerjaya, Adecco turut merancang untuk menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat di Malaysia untuk mengambil atlet –atlet yang telah bersara apabila program ini sudah berkembang meluas dan dikenali.

Sejak pelancarannya, 185 negara telah mengambil bahagian dalam program ini dengan membabitkan lebih dari 28,000 atlet di seluruh negara.

Sementara itu, Pengurus Adecco Malaysia Alma Othman berkata, “Atlet mempunyai disiplin, determinasi, kompetitif, dan kebolehan untuk menyesuaikan diri. Ini adalah ciri-ciri luar biasa yang boleh dipindahkan ke alam pekerjaan. Bersama-sama MOM, kami merasakan ianya adalah tanggungjawab untuk memastikan atlet yang telah mengharumkan nama negara mempunyai jaminan masa depan apabila kerjaya sebagai atlet berakhir nanti.”

Turut hadir pada majlis pelancaran yang berlangsung di ibu negara tengah hari tadi, adalah dua bekas atlet negara, R. Puvaneswaran (Taekwondo) dan Norasheela Khalid (Olahraga).      

“Kerjaya sebagai atlet tidak lama, tidak selamanya akan bergelar atlet. Malah ramai yang tidak aktif dalam sukan selepas usia 30 tahun kerana zaman kemuncak mereka sudah berakhir. Kalau ada yang bernasib baik, boleh jadi jurulatih. Jadi inisiatif MOM ini saya lihat sebagai satu langkah yang cukup baik untuk masa depan yang lebih terjamin,” ujar Puvaneswaran yang kini merupakan Jurulatih pasukan karate SUKMA Wilayah Persekutuan.  

- Advertisement -