Meskipun terlepas peluang untuk membawa bekalan jaringan bagi menghadapi aksi timbal balik separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Rajamangala pada 5 Disember depan, keyakinan tetap tinggi di kem
Harimau Malaya betapa mereka akan dapat menyingkirkan Thailand.
Harimau Malaya sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang skuad juara bertahan itu dalam aksi pertama pada Sabtu dan ramai yang berpendapat skuad Tan Cheng Hoe sepatutnya menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan menyempurnakan deretan peluang terhidang dan membunuh terus perjuangan Thailand pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
Ini sekaligus bermakna mereka berdepan tanggungjawab cukup sukar apabila bertandang ke gelanggang lawan tanpa sebarang kelebihan namun Cheng tetap bernada optimis.
“Kita telah membuktikan bahawa kita boleh bermain lebih baik berbanding Thailand, menguasai bola dan bermain permainan menyerang yang menghiburkan.
“Ini adalah perlawanan terbaik kami dalam kempen AFF, pemain cukup fokus dan kita terlepas beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol. Sudah pasti ia perlawanan yang sukar di Bangkok nanti tetapi pemain perlu kekal tenang.
“Saya gembira sebab kami tak bolos, kita berjaya elak dari melepaskan gol tempat lawan dan itu sebenarnya satu kelebihan juga buat kita. Saya jangka bila kita bermain di Bangkok nanti, Thailand akan lebih agresif menyerang dan kita kena fokus bertahan, selain cuba sedaya upaya untuk mendapatkan jaringan tempat lawan,” kata Cheng Hoe.
Nada keyakinan turut dikongsi oleh pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh yang berpendapat tidak mustahil Harimau Malaya dapat mengejutkan Thailand di hadapan penyokong mereka jika tampil lebih tajam di depan gol.
“Jika kami mampu bermain sama seperti ini di Thailand tiada alasan mengapa kami tidak boleh menang, itu yang saya fikir. Saya cukup yakin kalau kami dapat kekalkan segala momentum dan tidak membazir peuang-peluang jaringan sepertimana semalam (Sabtu), kami mampu mara ke final,” ujar Sumareh.
Malaysia yang merupakan juara 2010 dan kali terakhir melangkah ke final pada edisi 2014, memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri 1-1 di Bangkok untuk meneruskan kemaraan tatkala Thailand yang sedang mengintai ruang mencipta sejarah sebagai pasukan pertama menjulang hatrik Piala AFF Suzuki tiada pilihan selain perlu mencatat kemenangan. MUHD AIMAN