Pengumuman menerusi laman sosial Johor Southern Tigers (JST) berhubung perpindahan Akhyar Rashid bagaimanapun bukan menjadi noktah apabila KFA menganggap JDT tidak menghormati pihaknya.
Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris menerusi kenyataan di laman sosial Persatuan Bolasepak Kedah kecewa dengan kenyataan serta video yang dimuat naik dalam laman sosial Johor Southern Tigers (JST) berhubung isu perpindahan Akhyar Rashid yang melibatkan kedua dua pihak.
“Video itu nampak rasmi dari pihak media JDT dan saya fokuskan kepada pihak media JDT yang tidak menghormati perbincangan serta pertikaian berkaitan proses undang-undang yang masih berjalan antara pihak KFA selaku majikan pemain dan pihak FAM,” kata Asmirul.
“Terdahulu kita memaklumkan mahu membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas tidak berpuas hati dengan rayuan yang ditolak FAM, namun semalam kita turut dimaklumkan bahawa Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menyatakan sikap terbuka dan sedia mengadakan perbincang dengan KFA mengenai isu ini serta menganggap perkara ini boleh diselesaikan secara dalaman dengan lebih baik.
“Kita akan tetap dengan pendirian untuk meneruskan proses ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tetapi kalau kita diberi ruang, kita akan berbincang dengan bersyarat.”
Asmirul juga berkata pihaknya sudah boleh mengagak berkaitan perkara ini (Akhyar ke JDT) tetapi pihaknya tidak pernah bercakap berkaitan hal ini dan hanya menyentuh hal berhubung KFA dan FAM sahaja.
“Kita tidak menuduh mana-mana pihak tapi cara mereka buat itu menampakkan mereka tidak menghormati rundingan berkaitan undang-undang yang masih lagi dijalankan antara KFA dan FAM.
“Tujuan kita mahu membawa kes berkaitan isu Akhyar ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) adalah kerana kita mempunyai asas,” katanya.
Difahamkan pihak FAM dan KFA akan mengadakan pertemuan sekali lagi minggu depan.