Skuad Liga Super Kuala Lumpur nampaknya tidak terganggu dengan kemelut mengenai penangguhan Kongres Tahunan Ke-31 dan kekal fokus di dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia.
Pemain berdarah campuran Malaysia-New Zealand, Khair Jefri Jones menjadi pemain terbaru dibawa masuk untuk memperkasa benteng pertahanan pasukan itu yang diketahui cukup goyah tahun ini.
Bagi jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, kehadiran Khair Jones yang menyarung jersi Melaka United selama tiga musim dari 2016-2018 adalah tepat pada waktunya memandangkan dia ketika ini sedang berusaha keras untuk menambah kekuatan di posisi pertahanan.
“Khair bukan sahaja memberi kelebihan dari aspek pengalaman dan fizikalnya, tetapi dia juga agak fleksibel dan versatile, boleh bermain di posisi bek tengah dan bek kiri yang mana saya harap akan dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk perkuatkan pertahanan,” kata Yusri.
Khair Jones merupakan tonggak Melaka United yang menjuarai saingan Liga Premier 2016 sekaligus membawa pasukan itu mara ke Liga Super buat kali pertama selepas sembilan tahun, sehingga pernah dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya.
Dia merupakan pemain keenam menyertai Kuala Lumpur bagi musim baru selepas Alif Samsudin, Faridzuean Kamarudin, Fitri Omar serta dua pemain import Syvano Dominique Comvalius dan Ryutaro Karube.
Sementara itu, pemain tinggi lampai berusia 29 tahun itu berterima kasih kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur yang sudi mengikatnya selepas digugurkan Melaka United.
“Saya hampir tidak mempunyai pasukan dan mereka menerima saya, saya akan balas kepercayaan yang diberikan dan cuba sebaik mungkin untuk sentiasa berada pada tahap prestasi terbaik dan membantu pasukan untuk muncul antara pencabar kejuaraan,” kata Khair Jefri.
Sebagai rekod, Kuala Lumpur pada musim ini menamatkan saingan Liga Super di tempat kesepuluh dan layak ke suku akhir Piala FA manakala dalam saingan Piala Malaysia cabaran mereka kandas di peringkat kumpulan. MUHD AIMANÂ