Setelah dua tahun kariernya sedikit terumbang-ambing, pemain pertahanan, Khair Muhammad Jefri Jones, secara perlahan-lahan mula mendapat rentak bersama pasukannya, Sarawak United FC pada musim ini.
Mula diturunkan dalam dua perlawanan terakhir dalam kesebelasan utama dan lima secara keseluruhan, pemain kacukan Malaysia-Wales itu mengharapkan dia mampu terus konsisten untuk berada dalam kesebelasan utama.
Dia sebenarnya mengakui masih boleh beraksi dengan baik biarpun pernah dihantui sedikit masalah kecederaan di Kuala Lumpur pada 2019 yang menyebabkan dia sukar mendapat minit permainan yang banyak.
Di Melaka pada musim lalu, dia hanya dapat beraksi sebanyak empat daripada sebelas perlawanan sebelum mengambil keputusan kembali bekerja di bawah E.Elavarasan yang pernah bersamanya semasa di Melaka pada musim 2018.
â Setakat ini saya gembira dengan apa sumbangan bersama Sarawak dan saya melihat pasukan ini mampu memberikan ruang untuk saya mendapat lebih banyak peluang bermain.
â Saya masih yakin dengan kemampuan diri sendiri biarpun dua musim ini saya tidak banyak bermain terutama di Kuala Lumpur ekoran ditimpa kecederaan pada awal musim dan hanya berpeluang bermain dalam beberapa perlawanan di Challenge Cup, iaitu di penghujung musim, begitu juga masa di Melaka.
â Kedatangan saya di Sarawak diharapkan mampu memberikan perubahan positif dalam anjakan karier dan buat masa ini, saya semakin berada hampir di kemuncak prestasi.
â Namun, saya masih perlu bekerja keras dalam tiap perlawanan jika mahu mendapat tempat dalam kesebelasan utama tambahan persaingan merebut tempat dalam pasukan begitu sengit, â katanya.
Khair yang bakal berusia 32 tahun pada 29 September ini pernah meraih beberapa caps dengan pasukan kebangsaan pada tahun 2016 ketika di kemuncak karier bersama Melaka United dengan menyaksikan dia beraksi selama tiga musim di sana.
Di Sarawak, Khair bersaing sengit dengan seorang lagi pemain berpengalaman, Tommy Mawat Bada di posisi pertahanan kiri yang sebelum ini sering kali menjadi pilihan utama.
Selain itu,Khair mahu membantu Sarawak United dalam misi mengejar kejuaraan Liga Premier apabila peluang semakin cerab selepas mendahului lima mata ke atas pencabar terdekat, Negeri Sembilan FC.
â Buat masa ini, saya dan rakan-rakan perlu fokus dengan baki tiga perlawanan yang akan dilalui kerana tiada lagi ruang kami keciciran sebarang mata yang mungkin meletakkan kami dipintas pada saat akhir.
â Bermula menentang Kuching City (7 September), kami kena menang kerana selepas itu kami akan berdepan pencabar utama, Negeri Sembilan yang pasti akan menjadi perlawanan paling mencabar buat pasukan.
â Selepas itu dengan JDT II, biarpun ada beberapa keputusan tidak konsisten namun mereka sebuah pasukan yang ada kualiti serta mampu menewaskan sesiapa sahaja, â katanya.