Oleh Ku Mohd Lufti
Impian pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad untuk mengulangi pencapaian, mara ke suku akhir seperti Olimpik 2012 London tidak kesampaian apabila tumpas di pusingan kedua kepada pemanah Jerman, Florian Floto dengan keputusan 6-4.
Khairul seharusnya memenangi perlawanan peringkat ini kerana sudahpun mendahului 4-0 selepas dua set apabila menang 27-26, 27-23.
Namun segalanya tampak tidak menjadi buat pemanah kelahiran Terengganu itu apabila hambar di panahan ketiga di set ketiga.
Anuar sudahpun mendahului 20-19 ke atas Florian selepas dua panahan, namun panahan ketiganya sekadar membidik 7 mata tatkala lawannya tepat membidik 10 mata untuk bangkit daripada ketinggalan.
Di set keempat, Khairul terus tenggelam apabila hanya mampu mengumpul 25 mata sementara Florian cemerlang untuk memenangi set ini apabila meraih 28 mata.
Di set penentuan, Florian terus cemerlang apabila membidik tepat 30 mata manakala Khairul sekadar meraih 29 mata, sekaligus gagal meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga.
Terdahulu, Khairul mudah mengatasi pemanah dari Colombia, Andres Pila dengan keputusan 6-0 di pusingan pertama.