Oleh Muhammad Aiman
Penjaga gol utama Harimau Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat merupakan seorang daripada lima pemain yang digugurkan dari senarai 23 pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2019.
Menariknya ini adalah kali pertama dalam tempoh tujuh tahun sejak 2010 penjaga gol Kelantan itu tercicir dari senarai panggilan, melainkan kerana mengalami kecederaan atau diberi rehat.
Tindakan drastik Datuk Ong Kim Swee ini tampak didorong oleh aksi kurang meyakinkan Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan panggilan Apek sejak kebelakangan ini, yang menyaksikan dia turut direhatkan Zahasmi Ismail dan sekadar menjadi penonton dalam dua perlawanan terakhir Kelantan – ketika menentang Perak dan T-Team dengan Ramadhan Hamid diturunkan, dan Kelantan menang kedua-dua perlawanan itu.
Justeru ini memberi bayangan betapa era kegemilangan Khairul Fahmi sebagai penjaga gol utama Malaysia sejak tujuh tahun lalu menghampiri penamatnya.
Turut digugurkan Kim Swee dari senarai kali ini adalah Irfan Fazail (JDT II), Ahmad Fakri Saarani (Kedah), Darren Lok (JDT) dan Norsharul Idlan Talaha (Felda United).
Sebagai pengganti, Kim Swee telah menyenaraikan penjaga gol Felda United, Farizal Harun manakala dua lagi penjaga gol yang berada dalam senarai adalah penjaga gol Perak, Hafizul Hakim serta penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid yang dijangka bakal mengambil alih tempat Apek.
Selain Farizal, Afif Amirudin (Pahang), Khair Mohd Jefri Jones (Melaka), Akram Mahinan (Kedah), dan Nasir Basharudin (Perak) adalah empat pemain lain yang dipanggil memperkuatkan pasukan.
Kesemua pemain kecuali dari JDT dan Felda United yang terlibat dengan Piala AFC perlu melapor diri pada 13 Mac ini. Pemain JDT perlu melapor diri pada 15 Mac manakala Felda pula 16 Mac.
Malaysia dijadual berdepan Filipina pada 20 Mac dalam aksi persahabatan sebelum menentang Korea Utara pada 28 Mac – begitupun venue perlawanan bagi aksi menentang Korea Utara masih belum diputuskan sama ada kekal bermain di Pyongyang atau ada pertukaran.
Senarai 23 pemain kem latihan pusat :
Penjaga gol : Khairul Azhan Khalid (Selangor), Hafizul Hakim (Perak), Farizal Harun (Felda United); Pertahanan : Shahrom Kalam, Nazirul Naim (Perak), Khairul Helmi, Rizal Ghazali (Kedah), Fadhli Shas (JDT), Mathew Davies, Afif Amirudin (Pahang), Khair Jefri Jones (Melaka), Ronny Harun (Sarawak); Tengah : Shahrul Saad, Nasir Basharudin, Zaquan Adha (Perak), Baddrol Bakhtiar, Akram Mahinan, Syazwan Zainon (Kedah), Hadin Azman (Felda), S.Veenod (Selangor); Penyerang : Hazwan Bakri (JDT), Amri Yahyah (Melaka), Safee Sali (PKNS)