Khairul Fahmi

Stadium Nasional Bukit Jalil, mempunyai kenangan yang cukup istimewa buat pasukan Kelantan.

Di gelanggang inilah skuad dengan jolokan The Red Warriors itu menjulang trofi Piala FA dengan menewaskan Johor Darul Takzim dalam aksi final pada 2013, dan ianya kekal sebagai trofi terakhir dimenangi mereka sehingga ke hari ini.  

Kembali beraksi di gelanggang tersebut pada Januari nanti apabila berlangsungnya kejohanan jemputan tiga penjuru Sportfix Piala Super, penjaga gol utama pasukan itu, Khairul Fahmi Che Mat mengidamkan penampilan yang sempurna. 

Khairul Fahmi, salah seorang tonggak senior yang dikekalkan pengurusan baru Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi musim 2018 berkata ianya penting untuk mereka memanfaatkan kejohanan yang dianjurkan pertama kali itu sebagai pentas untuk memenangi hati penyokong.   

“Belum ada pasukan beraksi di Stadium Nasional sejak ia dibuka semula, jadi ia satu penghormatan untuk Kelantan menjadi tiga pasukan pertama merasmikan penggunaan Stadium Nasional berwajah baru. Di Bukit Jalil kami menjulang trofi buat kali terakhir, saya masih ingat lagi suasana gamat dengan puluhan ribu penyokong Kelantan membanjiri stadium pada ketika itu.

“Jadi saya mengharapkan penyokong akan hadir berikan sokongan kerana saya percaya mereka sudah begitu lama ‘merindui’ aksi Kelantan di Bukit Jalil dan suasana yang sama itu berulang biarpun ia cuma kejohanan pemanas badan,” kata penjaga gol berusia 28 tahun itu.  

Tambahnya lagi, “Lagipun pasukan yang ambil bahagian bukan calang-calang, mereka adalah pasukan terbaik di Indonesia dan Thailand, manakala kita dalam persiapan musim baru. Jadi ini juga peluang terbaik menguji keupayaan, keserasian dan persefahaman dalam pasukan yang rata-ratanya dibarisi pemain muda.

“Saya dan rakan sepasukan akan berikan aksi terbaik dan cuba mencatat satu keputusan yang baik. Pastinya ia akan menjadi satu motivasi terbaik bagi menghadapi musim baru.”

Selain Khairul Fahmi yang juga penjaga gol kebangsaan, pemain senior lain di dalam pasukan adalah Badhri Radzi, Norfarhan Mohd dan Farisham Ismail manakala penjaga gol veteran berusia 40 tahun, Shahrizan Ismail direkrut semula ke dalam pasukan setelah penjaga gol B-22 negara, Ahmad Syihan Hazmi memilih berhijrah ke Negeri Sembilan.

“Kita akan menjadi pasukan pertama bermain di Stadium Bukit Jalil yang berwajah baru, kita diberi kepercayaan untuk membawa nama Malaysia, sudah tentu faktor-faktor ini boleh membakar semangat pemain untuk melakar satu keputusan yang bagus,” kata Bibi Ramjani Ilias Khan, presiden KAFA.

“Saya yakin pemain-pemain juga tidak mahu mengecewakan harapan penyokong, mencatat satu keputusan cemerlang dengan menentang pasukan terbaik dari rantau ini pastinya akan menjadi satu tonik yang baik dan permulaan sempurna untuk musim 2018. Kita mahu bermula di Bukit Jalil dan akhiri musim juga di Bukit Jalil.”

Untuk rekod, Sportfix Piala Super yang akan berlangsung dari 13-20 Januari, turut membabitkan penyertaan kelab dari Indonesia, Persija Jakarta dan kelab Thailand, Ratchaburi FC.  Tiket untuk perlawanan boleh di beli online di www.sportsfixcup.com atau terus dari Persatuan Bola Sepak Kelantan. 

Perlawanan di jadualkan seperti berikut:

13 Januari 2018 (Sabtu), 8.00pm    :           Ratchaburi FC lawan Persija Jakarta

16 Januari 2018 (Selasa), 8.00pm   :           Kelantan FA lawan Persija Jakarta

20 Januari 2018 (Sabtu), 8.00pm    :           Kelantan FA lawan Ratchaburi FC

- Advertisement -