Pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy dilandasan terbaik dalam misi memburu tiket ke sukan Olimpik Rio 2016 selepas mengungguli kedudukan di Kejohanan Kapal Layar Persekutuan Kapal Layar Asia, ASAF 2016 di Abu Dhabi.
Khairulnizam yang beraksi dalam kategori Laser menghuni tangga teratas daripada 41 pelayar yang bertanding , mengumpul enam mata selepas dua perlumbaan.
Pada pusingan pertama, Nizam menamatkan perlumbaan ditempat kedua manakala pusingan kedua, beliau sedikit hambar apabila menduduki tempat keempat.
Kedudukan Khairulnizam dicabar hebat pelayar dari Thailand, Keerati Bualong yang menduduki tangga kedua dengan lapan mata berjaya diperolehi setakat ini.
Bualong cemerlang pada pusingan pertama apabila menamatkan perlumbaan ditempat pertama namun hambar dipusingan kedua apabila menduduki tangga ketujuh.
Turut sama berkongsi lapan mata dengan Keerati Bualong adalah pelayar Jepun, Shinnosuke Yasuda.
Manakala tiga lagi pelayar negara yang turut beraksi dalam kategori Laser, Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan, Muhd Farhan Hamid dan Asri Azman masih berpeluang untuk memperbaiki kedudukan apabila berada dikelompok 20 pelayar terbaik.
Ahmad Latif Khan yang sebelum ini mengalami masalah kesihatan menduduki tempat ke Sembilan dengan 24 mata manakala Farhan di tangga ke 10 dengan 26 mata.
Pelayar negara dalam pembikinan Asri Azman pula gagal mempamer aksi cemerlang apabila berada di tangga ke 15 selepas mengumpul 32 mata.
Manakala dalam kategori Laser Radial Wanita, Nur Shazrin Mohd Latiff menduduki tempat kedua daripada 13 pelayar yang bertanding.
Shazrin mengumpul lima mata, dibezakan dengan tiga mata dibelakang pendahulu dari negara Thailand, Kamolwan Chanyim.
Seorang lagi pelayar wanita negara, Khairunneeta Mohd Afendy, berada di kedudukan ke empat selepas menamatkan dua pusingan dengan 11 mata, manakala Nurliyana Mohd Latif sekadar di kedudukan ke tujuh.
Perlumbaan ketika ini ditangguhkan oleh pihak penganjur susulan cuaca buruk dan dijangka akan disambung pada jam 12 tengah hari waktu tempatan.
Ribut dengan kelajuan angin sehingga 40 knot melanda venue pertandingan kira kira jam 11 pagi waktu tempatan mengakibatkan kerosakan kepada bot bot.
Pelayar dan jurulatih sedang membaikpulih dan memeriksa bot bot sebelum pertandingan disambung semula.