Oleh Ku Mohd Lufti
Selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dikangka membentangkan jalan penyelesaian kepada Exco FAM minggu depan.
Formula yang dihasilkan masih perlu diteliti, malah Khairy menegaskan, apa yang dilakukan hanya sebagai ‘pemudah cara’ untuk menyelesaikan kemelut dan bukan berniat untuk campur tangan.
“Saya kena muktamadkan formula itu, minggu hadapan saya kena bentangkan kepada Exco FAM dan saya harap mereka akan terima formula yang telah pun dapat restu Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Saya membantu sahaja sebab ini semua perlu dapat persetujuan FAM, saya tidak boleh buat keputusan bagi pihak FAM,” kata Khairy.
Tambah Khairy, beliau akan mengadakan pertemuan emoat mata dengan pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mendapatkan pandangan lanjut dan peranan kesemua pihak bagi mengembalikan kegemilangan sukan bolasepak Malaysia .
“Saya telah mengadakan perbincangan yang positif dengan Tunku Mahkota Johor (sebelum ini) tetapi Tunku Ismail hari ini berangkat ke Kuala Lumpur, saya kebetulan di Johor.
“Saya sedang mencari masa yang sesuai untuk mengadap Tunku untuk kita bincang secara muktamad formula yang akan dapat melihat baginda membantu pembangunan bola sepak negara.
“Semua pihak saya rasa kena ada peranan yang dinantikan oleh semua peminat bola sepak tanah air dan rakyat jelata yang mahu lihat semua bekerjasama.”
Kemelut dalaman melibatkan FAM masih belum berkesudahan, sebaliknya semakin rancak, bermula dengan persaraan daripada skuad kebangsaan oleh empat pemain.
Keadaan semakin panas apabila Tunku Ismail mendakwa mempunyai maklumat berhubung amalan rasuah dalam FAM.