Inisiatif Hijau temasya Sukan SEA dan Para Asean Kuala Lumpur 2017 disemarakkan dengan pelancaran program ‘satu pingat, satu pokok’ di Bandar Sukan Bukit Jalil pada Rabu (2 Ogos 2017).
 
Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin menyempurnakan majlis itu, menyaksikan sejumlah 5,249 anak pokok akan ditanam bertujuan mengimbangi karbon dilepaskan sepanjang temasya KL 2017.
 
Bilangan pokok yang akan ditanam itu adalah mengikut jumlah keseluruhan medal emas, perak dan gangsa yang dihadiahkan kepada pemenang Sukan SEA dan Para Asean KL 2017 dan akan dijalankan empat fasa bermula hari ini hingga Mac 2018.
 
Program ini dijayakan Landskap Malaysia yang telah dilantik sebagai Rakan Inisiatif Hijau manakala SCGM Berhad (Rakan Hijau rasmi) dan Tenaga Nasional Berhad pula adalah penaja bersama program ini.
 
YB Khairy yang mendahului aktiviti menanam pokok di kawasan Mini Forest Dataran Plaza Bandar Sukan Bukit Jalil sebagai simbolik pelancaran program berkata langkah ini bukan sahaja bagi memelihara alam sekitar, tetapi turut menyatakan harapan agar ia menjadi penyuntik semangat buat atlet memburu gemilang di KL2017.
 
“Pelancaran pada hari ini adalah fasa pertama, fasa kedua pemberian anak pokok kepada pemenang medal di KL2017 manakala fasa ketiga adalah acara menanam pokok bagi setiap pingat emas yang dimenangi atlet Malaysia yang akan diadakan selepas tamatnya temasya.
 
“Ketika perhimpunan akhir atlet (pada 10 Ogos) saya akan memaklumkan kepada mereka bahawa satu pokok akan ditanam atas nama mereka sekiranya menang emas. Jadi ini sudah tentu akan bakar semangat mereka, kerana kenangan mereka bukan setakat menang emas, tetapi lebih dari itu sumbangan kepada masa depan negara dan meninggalkan legasi bermakna,” kata beliau.
 
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Dato’ Sri Zolkples Embong; Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah; Pengerusi Eksekutif SCGM Berhad Dato’ Sri Lee Hock Seng; Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Dato’ Ir. Mohd Aminuddin Amin dan Chef de Mission kontijen negara ke Sukan SEA, Dato’ Marina Chin.
 
Temasya Sukan SEA ke-29 akan berlangsung pada 19-30 Ogos depan manakala Sukan PARA ASEAN pula dari 17-23 September 2017. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
- Advertisement -