Oleh Muhammad Aiman
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggalakkan lebih ramai anak-anak muda dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk terlibat di dalam bidang sukan.
Menurut Khairy, kejayaan dicapai barisan atlet paralimpik negara di temasya Sukan Paralimpik Rio De Janeiro baru-baru ini seharusnya membuka mata ramai betapa sukan menjanjikan masa depan yang cerah justeru mahu mereka mengambil inspirasi dari kejayaan tersebut untuk mencipta sesuatu yang lur biasa. Â
“Kita nak memperluaskan lagi pool atlet paralimpik dan memperluaskan program pencarian bakat di seluruh negara menerusi program Inspire. Melalui pencapaian mereka (atlet paralimpik) ini ibu bapa khususnya perlu menggalakkan anak-anak mereka dari kalangan kelainan upaya untuk memilih sukan sebagai kerjaya.
“Kita akan usahakan membawa mereka ke sekolah-sekolah, berkongsi cerita kejayaan mereka. Kisah kejayaan mereka ini akan menjadi inspirasi kepada anak muda yang lain, sama ada kepada yang normal mahupun yang merupakan kelainan upaya. Jika Ridzuan (Puzi), Ziyad (Zulkifli), Abdul Latiff (Romly) dan Siti Radiah (Ismail) boleh capai kejayaan, tiada sebab mengapa yang lain tidak boleh lakukannya.”
Khairy bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas meraikan kepulangan wira dan wirawati paralimpik negara yang mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah dengan memenangi tiga pingat emas dan satu gangsa di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau bersama-sama Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, SM Nasaruddin SM Nasimuddin dan Penaung, Tun Jeane Abdullah sebelum itu menyambut ketibaan kontinjen paralimpik negara seramai 48 atlet dan pegawai dalam majlis gilang-gemilang yang kemudiannya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di pentas utama.
Turut hadir adalah beberapa atlet olimpik negara antaranya Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa dan Pandelela Renong serta lebih 1,000 peminat sukan tanah air selain ahli keluarga, sahabat dan rakan-rakan atlet.
Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapannya berkata atlet-atlet paralimpik negara ini seharusnya diangkat sebagai ikon kepada generasi muda hari ini di atas kejayaan luar biasa yang dilakar di pentas sukan terbesar dunia bagi golongan kelainan upaya itu.
“Kenapa saya katakan begitu, jika seorang atlet paralimpik boleh menunjukkan satu kesungguhan dan pulang dengan pencapaian yang hebat. Kita yang sempurna, yang cukup sifatnya, jika ada kesungguhan, kita perlu buktikan bahawa kita boleh capai sesuatu yang lebih hebat.”
Tambahnya, selain insentif yang diterima menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), pemenang pingat gangsa akan turut menerima tambahan RM100,000.
Pada temasya paralimpik edisi ke-15 yang menutup tirainya beberapa hari lalu, Malaysia membawa pulang tiga emas menerusi Mohd Ridzuan Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zulkifli (lontar peluru F20) dan Abdul Latiff Romly (lompat jauh T20) serta satu gangsa menerusi Siti Nor Radiah Ismail (lompat jauh T20).