Menteri Belia dan Sukan, Brig. Jeneral YB Khairy Jamaluddin menjadi watak utama di dalam memacu kemenangan pasukan Jogo Polo dalam aksi pembukaan Kejohanan Polo Terbuka Malaysia Ke-10 di Kelab Polo Diraja Selangor pada Selasa.
Selain tampil dengan permainan meyakinkan, beliau turut menjaringkan satu gol untuk membantu pasukannya menewaskan juara bertahan, Kelab Polo Putra dengan keputusan 8-6.
Penguasaan jelas milik Jogo Polo sejak dari babak awal perlawanan dan mereka berjaya merebut pendahuluan 6-2 di separuh masa pertama namun perlawanan menjadi lebih menarik apabila Kelab Polo Putra cuba menterjemahkan kebangkitan di lewat permainan.
Naib Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia, Dato’ Syed Budriz Putra yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Atlet Polo ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berkata prestasi cemerlang Khairy dalam aksi pembukaan memberi gambaran betapa beliau semakin bersedia mengalas cabaran di temasya dwitahunan itu.
“Ini adalah pertandingan terakhir dalam kalendar polo sebelum berlangsungnya Sukan SEA dan saya gembira untuk melihat permainan ditunjukkan oleh YB Khairy. Hanya beliau seorang sahaja pemain dari luar disenaraikan dalam skuad KL 2017 dan beliau memberi justifikasi kepada pemilihan kita.
“Beliau menunjukkan kualiti sebagai seorang penyerang yang cukup bagus, dengan ketahanan fizikal dan kecergasan beliau juga berada di tahap terbaik. Ini sudah tentunya satu perkembangan baik. Saya percaya beliau mampu mengetuai Jogo Polo untuk layak ke peringkat final,” ujar Syed Budriz.
Syed Budriz berkata seramai tujuh pemain telah disenaraikan untuk membawa cabaran di KL 2017 pada Ogos nanti dan enam daripada mereka ketika ini sedang menjalani latihan pusat di Pekan, Pahang.
Sementara itu, bagi ketua pasukan Kelab Polo Putra, Datuk Seri Norza Zakaria, beliau menjelaskan pasukannya lambat mendapat rentak kerana mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang.
“Biasanya kita bermain di Padang Polo Putra, jadi sebab itu hanya pada chukka keempat kita dapat terjemahkan sedikit kebangkitan tetapi agak terlewat namun saya percaya kita akan bangkit dalam dua perlawanan seterusnya bagi memburu slot ke final,” ujarnya yang mengetuai Kelab Polo Putra muncul juara pada edisi 2015 dan 2016.
Dalam satu lagi aksi, Ranhill Putrajaya mencatat kemenangan 6-4 ke atas La Familia.
Aksi seterusnya Jogo Polo akan menentang La Familia pada Khamis (6 Julai 2017) manakala Kelab Polo Putra akan menentang Ranhill Putrajaya pada Sabtu (8 Julai 2017). – OLEH MUHAMMAD AIMAN