Oleh Muhammad Aiman
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yakin aksi luar biasa yang ditunjukkan atlet-atlet paralimpik negara dalam laluan membawa pulang tiga pingat emas dan satu gangsa dari Sukan Paralimpik Rio De Janeiro baru-baru ini akan dapat diteruskan di Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017.
“Atlet-atlet paralimpik kita telah membuktikan mereka adalah bertaraf dunia, dan boleh bersaing di pentas tertinggi. Jadi, sudah tentunya harapan juga besar apabila beraksi di Para Asean yang mana kita menjadi tuan rumah. Saya jangkakan satu saingan yang hebat terutamanya dari Thailand.
“Di Rio mereka memenangi enam emas dan menjadi kontijen terbaik dari rantau Asia Tenggara, kita di belakang mereka. Jadi sasaran saya adalah sekurang-kurangnya tempat kedua, kita akan persiapkan satu pasukan yang terbaik untuk memberi cabaran.”
Untuk rekod, ketika di Singapura dua tahun lalu, Malaysia menduduki tempat ketiga di belakang Thailand dan Indonesia setelah mengumpul 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa.
Dalam perkembangan lain, Khairy mengumumkan insentif sebanyak 30 peratus kepada setiap jurulatih yang berjaya membimbing atlet mereka meraih pingat di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Rio De Janeiro 2016 baru-baru ini.
Di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sedia ada, jurulatih akan menerima sebanyak 20 peratus daripada ganjaran diterima atlet namun sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan jurulatih-jurulatih ini, Khairy berkata tambahan 10 peratus diberikan dan ianya tidak akan diusik dari jumlah insentif yang menjadi milik atlet.
“Sebagai contoh, sekiranya Ridzuan (Puzi) menerima insentif RM1 juta, jurulatihnya (R.Jaganathan) akan menerima RM300,000 dan jumlah ini dibayar berasingan,” ujar Khairy yang pada sidang media selepas menyambut kepulangan wira-wira paralimpik negara di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tambahnya, majlis penyerahan insentif bagi kedua-kedua pemenang pingat olimpik dan paralimpik akan diadakan serentak pada 9 Oktober depan di salah sebuah hotel di ibu negara, dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.