Oleh Muhammad Aiman

Teka-teki sama ada Khairy Jamaluddin akan bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka terjawab esok setelah Menteri Belia dan Sukan itu mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin.

“Saya belum buat keputusan, tengoklah nanti, saya kena jumpa dengan setiausaha agung FAM terlebih dahulu, dia kata perlu isi borang untuk nyatakan bertanding atau tidak,” kata Khairy ketika hadir merasmikan Program FitMalaysia peringkat negeri Sabah di Pusat Bandaran pada Ahad.

Selain Khairy, tiga individu lain yang dicalonkan untuk menduduki ‘kerusi panas’ Presiden FAM adalah Tan Sri Annuar Musa (bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan), Tan Sri Aseh Che Mat (Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM) dan calon ‘popular’ Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Namun setakat ini hanya Annuar seorang sahaja yang menyatakan kesudiannya untuk bertanding di Kongres Pemilihan FAM ke-53 Mac depan setelah menghantar borang pencalonan secara rasmi, meskipun bekas Timbalan Presiden FAM itu hanya mendapat sokongan dari satu ahli gabungan.

Khairy pula baru-baru ini menyatakan bahawa seandainya TMJ yang secara kasarnya mendapat sokongan dari 14 ahli gabungan FAM mengesahkan mahu bertanding, dia bersedia untuk menarik diri bagi memberi laluan kepada pemilik kelab Johor Darul Takzim itu merencanakan perubahan terhadap landskap bolasepak tanah air.

Memandangkan TMJ masih belum membuat pengesahan rasmi, maka Khairy ketika ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat di dalam menyatakan keputusannya, walaupun hasratnya untuk bertanding dilihat tidak mendapat ‘restu’ kabinet.

Untuk makluman, jawatan Presiden FAM sebelum ini dipegang oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (penggal 2014 – 2018) setelah beliau menewaskan TMJ dengan keputusan 27 berbalas 12 undi pada Kongres Pemilihan FAM ke-50 pada 2014 namun pemilihan terpaksa diadakan lebih awal tahun ini setelah Tengku Abdullah membuat keputusan melepaskan jawatannya pada pertengahan 2016.

- Advertisement -