Kehadiran ke Penang FC pada musim 2022 diharapkan mampu memberikan tuah buat bekas penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Khatul Anuar Md Jalil bagi membina semula kariernya di Liga Malaysia.
Bakal menginjak ke usia 25 tahun pada musim depan, Khatul akui sudah sampai masanya dia tidak boleh berdiam diri serta berpeluk tubuh sahaja untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama dalam pasukan yang disertai.
Hanya pernah merasai peluang bermain semasa dipinjamkan ke UKM FC pada musim 2019, Khatul akui harap dapat mengikut jejak langkah penjaga gol sebayanya yang lebih kerap mendapat peluang diturunkan bersama pasukan masing-masing.
“ Saya datang ke Penang ini ibarat mahu bina semula karier dan cipta nama selepas musim ini saya berdepan kesukaran mendapat peluang bermain di KL City.
“ Sememangnya peluang agak tipis untuk diturunkan sepanjang musim lalu terutamanya penjaga gol utama (Kevin Mendoza) berada di tahap terbaik selain kehadiran penjaga gol berpengalaman pada musim sebelumnya.
“ Dari dulu, saya memang tekad dalam diri ini apabila sampai umur 25 tahun, saya kena dapatkan tempat untuk bermain kerana usia ini merupakan tahap kemuncak karier buat mana-mana pemain.
“ Ada kalanya saya berasa cemburu melihat rakan-rakan di pasukan lain yang mendapat peluang bermain namun saya tahu, soal rezeki ini pasti akan hadir jika kita bersabar serta bekerja seperti biasa dan jang sama sekali berputus asa, ” katanya.
Khatul pernah dipanggil menyertai pemilihan skuad Sukan Asia 2018 Indonesia namun pada masa itu hanya dua penjaga gol, Haziq Nadzli dan Ifwat Akmal Chek Kassim dibawa oleh Datuk Ong Kim Swee.
Namun kariernya di Kuala Lumpur tidak begitu menjadi seperti diharapkan setelah bersama dengan pasukan itu sejak 2017 hingga 2021 ekoran gagal menjadi pilihan utama bagi posisi penjaga gol.
Khatul berjaya mencuri tumpuan semasa bersama UKM FC apabila beraksi cemerlang bagi membantu pasukannya mara ke perlawanan akhir Challenge Cup sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II).
Jika Khatul berhasrat meraih tempat selaku penjaga gol nombor satu Penang FC dengan mudah, laluannya dilihat tetap sukar kerana perlu bersaing bekas penjaga gol Perak FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.
“ Saya tidak nafikan persaingan dengan Hafizul bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasti sengit memandangkan dia seorang penjaga gol yang ada pengalaman luas.
“ Namun, itu tidak ada masalah buat saya kerana menganggap itu persaingan sihat malah jika dilihat tahap sebelum ini di Kuala Lumpur, saya perlu bersaing dengan penjaga gol import.
“ Jika dengan penjaga gol tempatan, saya rasa peluang lebih sedikit cerah untuk mendapatkan tempat kerana saingan lebih terbuka sesama kami, ” katanya.