Oleh Muhammad Aiman
Barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedang mempertimbangkan kemungkinan memisahkan pasangan beregu wanita nombor satu negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei.
Jurulatih beregu wanita, Lim Pek Siah berkata keputusan sama ada mengekalkan atau tidak gandingan di kedudukan nombor 15 dunia itu hanya akan dibuat pada 2018, dua tahun sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan sehingga tempoh itu Vivian dan Khe Wei akan diuji bersama pemain lain.
Untuk rekod, Vivian (26 tahun) dan Khe Wei (27 tahun) telah beraksi bersama sejak tujuh tahun lalu dan mereka juga merupakan pasangan beregu wanita pertama negara melangkah ke suku akhir Sukan Olimpik yang berlangsung di Rio De Janeiro Ogos lalu.
“Masa depan Vivian dan Khe Wei bergantung kepada keadaan fizikal mereka. Buat masa ini kita tidak tahu adakah mereka boleh bertahan sehingga 2020. Negara kuasa besar yang lain sudahpun mengetengahkan gandingan baru jadi kita sudah perlu untuk menilai da merancang dengan teliti.
“Bagaimanapun kita hanya akan mencuba gandingan baru dalam pertandingan peringkat tempatan untuk tempoh setahun akan datang. Diharap eksperimen ini akan memberi kita gambaran siapakah gandingan masa depan terbaik buat negara,” kata Pek Siah.
Sebagai permulaan, Pek Siah berkata Vivian akan digandingkan dengan Chow Mei Kuan manakala Khe Wei pula dengan Goh Yea Ching di Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Sibu, dari 17-22 Januari depan, selain turut mencuba gandingan Lee Meng Yean-Lim Chiew Sien.
“Khe Wei adalah pemain yang cukup berpengalaman tetapi dia tidak berada dalam fizikal yang baik. Pada usia 19 tahun, Yea Ching dilihat bagus secara fizikal tetapi dia kurang pengalaman. Jadi kedua-duanya boleh melengkapkan antara satu sama lain,” tambah Pek Siah lagi.
Melihat kepada prestasi semasa pasangan ini, mereka tidak boleh diletakkan sebagai prospek pingat di Tokyo 2020 dan tidak keterlaluan jika dikatakan peluang untuk mereka terus mengorak langkah dan mencapai lebih banyak kejayaan juga sudah tertutup.
Gandingan itu tersingkir di peringkat kumpulan Final SuperSeries Dunia selepas tewas kesemua tiga perlawanan kepada pasangan muda China, Chen Qingchen-Jia Yifan, Kamilla Rytter Juhl-Cristinna Pedersen (Denmark) dan Jung Kyung Eun-Sin Sheung Chan.