Kontrak penyerang import dari Brazil, Cristiano Santos ditamatkan Persatuan Bolasepak Kelantan, sepertimana disahkan oleh presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan dalam satu kenyataan media.
Perkembangan itu bagaimanapun tidaklah mengejutkan kerana Cristiano yang menyertai Kelantan di jendela perpindahan kedua pada Jun lalu dianggap sebagai rekrut yang paling tidak berbaloi oleh peminat The Red Warriors.
Walaupun diwar-warkan sebagai penyerang sensasi yang akan merubah nasib Kelantan apabila dibawa masuk sebagai pengganti kepada Mohamed Ghaddar yang mengalami kecederaan, dia sebaliknya tampil dengan prestasi hambar dan tidak sedikitpun membantu memperkasa sentuhan penyudah pasukan.
Malah jentera serangan Kelantan boleh dikatakan lebih menyengat sebelum kehadiran Cristiano.
Sepanjang menyarung jersi Kelantan, Cristiano membuat 14 penampilan sama ada di dalam kesebelasan utama mahupun gantian dan hanya berupaya menjaringkan satu gol, itupun menerusi tendangan penalti ketika Kelantan menewaskan Johor Darul Takzim dalam saingan Piala Malaysia.
Dia juga ada menerima layangan kad merah ketika aksi yang sama itu dan secara keseluruhan ramai yang menganggap kualiti pemain itu sekadar indah khabar dari rupa dan lebih kurang sama taraf dengan pemain Piala Presiden pasukan itu yang lebih menyerlah.
Sebagai rekod, Kelantan sebelum ini telahpun mengesahkan bahawa khidmat pemain import dari Republik Kyrgyz, Baktyar Duishobekov juga tidak akan disambung kerana pemain itu tidak lagi berminat menyumbang khidmat bersama mereka dan telah menerima tawaran untuk beraksi bersama kelab lain dari luar negara.
Dengan Kelantan akan bermain dalam saingan Liga Premier buat kali pertama selepas 10 musim, ianya dilihat sukar untuk mereka mengekalkan pemain-pemain terbaik ditambah pula dengan masalah kewangan yang agak kritikal.
Malah permohonan mereka untuk mendapatkan lesen kelab juga ditolak oleh First Instance Body (FIB) Persatuan Bolasepak Malaysia kerana masih terdapat tunggakan gaji yang belum dijelaskan.
Justeru itu, masa depan beberapa pemain tonggak tempatan seperti penjaga gol Faridzuean Kamarudin, Syafiq Shaharudin, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Danial Ashraf Abdullah juga dilihat masih samar.
Sementara itu, Bibi Ramjani menjelaskan bahawa KAFA sedang berusaha untuk menjelaskan segala tunggakan gaji para pemain termasuklah hutang-hutang lama sebagaimana telah diarahkan oleh FAM dan FIFA.
Namun Bibi Ramjani sedikit terkilan apabila terdapat segelintir pemain yang bertindak mahu menyaman persatuan itu dan menjadikan keadaan lebih keruh.
“Semakin kita berusaha membayar hutang, semakin menjadi-jadi saman daripada pemain kerana mereka tahu syarat untuk kita mendapatkan lesen adalah perlu menyelesaikan hutang, malah ada pemain yang dua tahun tidak dibayar gaji membuat laporan dan menuntut hak mereka. Kita menjadi tertekan dan tersepit,” katanya.
Bibi Ramjani bagaimanapun menjelaskan dia akan mengadakan rundingan dengan pemain-pemain yang terbabit agar masalah itu dapat diselesaikan dengan baik.
Tambahnya satu surat rayuan juga telah dihantar kepada FAM pada 15 Oktober lalu untuk meminta pertimbangan badan induk itu berkenaan permohonan lesen kelab dan berharap FIB FAM akan mempertimbangkan rayuan itu dengan sewajarnya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN