Oleh Muhammad Aiman
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing boleh menarik nafas lega apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi lampu hijau kepada mereka untuk beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 21-27 Ogos depan meskipun gagal menepati kriteria ditetapkan badan induk itu.
Pasangan nombor dua negara itu pada hakikatnya telahpun mengesahkan tempat secara merit di kejohanan itu apabila berada di ranking kesepuluh dunia setelah tamat tempoh kelayakan dua minggu lalu.
Namun BAM sebelum ini menegaskan mereka hanya akan menyenaraikan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio De Janeiro serta yang berada di kedudukan lapan teratas ranking dunia sebaik tamat tempoh kelayakan ditetapkan untuk mengalas cabaran negara di Glasgow.
Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan BAM, Datuk Seri Norza Zakaria berkata, “Kita senaraikan Kian Meng dan Pei Jing kerana mereka telah melakukan sebaik mungkin, bekerja keras untuk menghampiri kedudukan lapan teratas yang kita tetapkan. Jadi tiada salah kita bertolak ansur setelah melihat apa yang telah mereka lakukan dan kita percaya mereka mampu berikan cabaran hebat di Glasgow nanti.
“Kita juga mempunyai alasan taktikal membuat keputusan ini, dengan keadaan Liu Ying masih dalam ketidakpastian, ianya bagus untuk mempunyai satu lagi pasangan beregu campuran yang boleh mencabar secara serius.”
Tambah Norza lagi, “Semalam (11 Mei) adalah hari terakhir untuk kita serahkan fasa pertama penyertaan ke Kejohanan Dunia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF). Kita telah menerima 10 penyertaan, kita membuat keputusan untuk mengesahkan tujuh dan menolak tiga penyertaan.”
Selain Kian Meng-Pei Jing, enam wakil negara lain yang disenaraikan BAM adalah Dato’ Lee Chong Wei, Zulfadli Zulkifli (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Woon Khe Wei-Vivian Hoo, Lim Ying Loo-Yap Weng Chen (beregu wanita) serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).
Manakala Goh Jin Wei dan Sonia Cheah (perseorangan wanita) serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sim (beregu lelaki) ditolak penyertaan mereka dan dijangka akan memperkuatkan skuad Sukan Sea Kuala Lumpur yang akan berlangsung dari 19-30 Ogos nanti.
“Pemain yang kita gugurkan atau tidak terpilih ini adalah kerana kita juga mahukan pemain terbaik kita beraksi di Sukan Sea, kita perlu ada keseimbangan. Jika semua pemain yang bagus ke Kejohanan Dunia, maka Sukan Sea nanti kita hanya ada pemain pelapis.
“Dan ini baru fasa pertama daripada empat fasa kelayakan BWF, kita jangka ada ramai lagi yang tersenarai,” kata Norza yang juga Presiden baru BAM.