Oleh Muhammad Aiman
Pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing membawa perkhabaran gembira dari bumi Ho Chi Minh apabila merangkul gelaran antarabangsa pertama dengan menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka GP Vietnam, sebentar tadi.
Pilihan ketiga kejohanan itu mencatat kemenangan mudah 21-16, 21-11 dalam masa 35 minit ke atas pilihan keempat dari Indonesia, Alfian Eko Prasetya dan Anissa Saufika sekaligus meleraikan badi final yang menghantui mereka sepanjang tahun ini.
Kian Meng dan Pei Jing sebelum ini tewas dalam tiga aksi final di Terbuka Masters Malaysia pada Januari, Cabaran Antarabangsa Poland pada Mac dan Terbuka Taiwan awal bulan ini.
Kejayaan pasangan yang berada di ranking ke-37 dunia itu bagaimanapun gagal dituruti dua lagi wakil negara, iaitu perseorangan lelaki Chong Wei Feng dan beregu lelaki Koo Kien Keat/Tan Boon Heong.
Wei Feng, pilihan kesebelas kejohanan tunduk dalam pertarungan tiga set yang berlangsung hampir satu jam kepada pilihan keempat dari Hong Kong, Vincent Wong Wing Ki, 12-21, 21-14 dan 13-21
Manakala pasangan yang pada satu ketika digelar beregu emas negara Kien Kiat dan Boon Heong gagal dalam usaha merangkul gelaran pertama tahun ini meskipun turun selaku pilihan utama, apabila tunduk kepada pasangan dari Taiwan Lee Jhe Huei/Lee Yang.
Meskipun menang set pertama 21-18 ke atas pilihan kedua itu, Kien Keat-Boon Heong bagaimanapun tewas dua set berikutnya 14-21, 7-21 dalam masa 48 minit.