#Perlukan satu mata daripada baki dua perlawanan untuk layak ke pusingan seterusnya
Kemenangan ke atas Kyrgystan dalam aksi pembukaan kumpulan E semalam jelas menyuntik semangat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang akan berdepan tugas getir apabila dijadual menentang juara bertahan, Korea Selatan esok.
Skuad bawah 23 tahun negara menduduki tangga kedua, berkongsi tiga mata dengan Korea Selatan yang berada di tangga teratas berdasarkan perbezaan jumlah jaringan.
Tatkala ramai yang tidak terlalu meletakkan harapan kepada skuad bawah 23 tahun negara, Kim Swee tampak optimis anak didiknya mampu mencipta kejutan ke atas Korea Selatan petang esok.
“Kita tidak semestinya melupakan kekuatan pasukan. Apa yang perlu kita lakukan, kekalkan perkara perkara positif yang kita lakukan ketika lawan Kyrgystan dan pada masa yang sama, kita perlu teliti bagaimana perlu pertahankan gol kita,”kata Kim Swee ketika sesi latihan petang tadi.
Tambahnya lagi, kelibat Heung Min Son bukan kerisauan ketika aksi kedua kumpulan E petang esok.
Sebaliknya Kim Swee melihat dan melabel kesemua pemain pemain Korea Selatan sebagai berbahaya dan punya kualiti tersendiri.
“Kita tahu yang Korea Selatan merupakan pasukan yang berada di tahap berlainan. Kita dapati mereka bukan sahaja mempunyai 11 pemain tetapi 20 pemain yang bila bila masa boleh diturunkan dan mempunyai kualiti yang cukup berbeza.
“Saya tidak nampak yang kita harus mengawal individu. Yang lebih penting semua pemain dan kita tahu pasukan Korea Selatan tidak turunkan Son ketika menentang Bahrain, mereka mampu mengucar kacirkan dan mendapat 6-0,”kata Kim Swee lagi.
Dalam pada itu, Kim Swee masih memantau perkembangan kecederaan tiga pemain, Dominic Tan, Akhyar Abd Rashid dan Adam Norazlin.
Keputusan samada sedia untuk diturunkan atau sebaliknya, hanya bergantung kepada perkembangan ketika sesi latihan petang tadi dan sebelum perlawanan menentang Korea Selatan esok.
“Bagus untuk kita dapatkan 3 mata dan kemenangan dalam perlawanan pertama, tetapi kita masih belum layak dan prestasi tidak begitu membanggakan walaupun kita menang.
“Yang positif kita mampu mencari peluang dan menjaringkan gol. Lebih penting dan mustahak pemain harus kekal fokus terutama pada dua perlawanan akan datang dimana saya percaya dengan satu mata sahaja kita mampu layak ke peringkat seterusnya,”Kata Kim Swee.
Beliau tidak menolak akan melakukan perubahan dan mengingatkan pemain pemain yang akan diturunkan petang esok bersedia untuk menggalas tugas.