Skuad B-22 negara kendalian Dato’ Ong Kim Swee mengakhiri latihan pusat di Mokpo, Korea Selatan dengan keputusan seri 1-1 menentang Jeonju Citizen pada Khamis.
Ia adalah aksi persahabatan ketiga sepanjang berada di Mokpo di mana dua aksi terdahulu menyaksikan Malaysia mencatat satu kemenangan dan satu seri.
Kim Swee bernada positif dengan perkembangan ditunjukkan barisan pemainnya.
“Keputusan perlawanan tidak memberi sebarang impak mahupun tekanan tetapi sudah tentunya kualiti permainan amat penting dan setelah tiga perlawanan di Korea kita berjaya mengenalpasti kelemahan dan memperbaikinya terutama pada perlawanan hari ini.
“Objektif utama kita telah dicapai melalui perlawanan persahabatan yang cukup berintensiti tinggi dan keseluruhan kita perlu memperbaiki lagi pada perlawanan persahabatan terakhir di Nanjing, China menentang Syria B-23 yang mana dapat mengukur kekuatan dan kelemahan sebenar kita,” kata Kim Swee.
Tambahnya lagi, “Saya tidak membandingkan keputusan di pusingan kelayakan dan perlawanan persahabatan namun dari sudut analisa saya percaya pemain bertambah baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Ianya lebih penting pemain-pemain sampai ke puncak prestasi apabila kita bermain di China nanti.”
Dengan berakhirnya latihan pusat di Mokpo, Kim Swee akan menggugurkan tiga pemain dan mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang akan dibawa beraksi di Kejuaraan AFC B-23 di Jiangsu dari 9 – 27 Januari depan, pada Jumaat.