safiq.rahim.2

Oleh Muhammad Aiman

Pengendali Harimau Malaysia, Dato’ Ong Kim Swee tidak mahu menghabiskan masa meratapi pengunduran mengejut dua pemain tonggaknya, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Safiq Rahim dari skuad kebangsaan.

Meskipun mengakui terkejut dengan berita tersebut tatkala dia sedang bekerja keras mempersiapkan skuad terbaik bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2016, Kim Swee berkata keputusan dua pemain itu perlu dihormati dan adalah lebih penting untuknya segera mencari calon pemain lain bagi mengisi tempat mereka.

“Ia satu kerugian tetapi jika benar ia keputusan mereka, kita harus menghormatinya kerana sudah tentu mereka berdua sudah berbincang dengan keluarga dan fikir masak-masak sebelum membuat keputusan.

“Pada masa sama saya perlu terus memikirkan siapa pengganti mereka yang boleh kita nilai dalam baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia yang sudahpun bermula (pada Selasa) untuk disenaraikan bagi menggalas tugasan negara di masa akan datang.

“Bagaimanapun jika keadaan berubah dan mereka menukar fikiran untuk kembali menyarung jersi negara selepas ini, sudah tentu kita akan nilai kedudukan mereka berdasarkan prestasi semasa ketika itu,” ujar Kim Swee.

Aidil dan Safiq pada Selasa mengumumkan persaraan dari pentas antarabangsa, kurang lima bulan sebelum berlangsung Piala AFF Suzuki 2016 dengan memberikan alasan bahawa masanya sudah tiba untuk mereka memberi laluan kepada pemain lebih muda setelah menyarung jersi kebangsaan selama sembilan tahun bermula 2007.

Keputusan kedua-dua pemain itu hadir hanya sehari selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemilik Johor Darul Takzim – pasukan diwakili dua pemain itu – membidas jadual latihan skuad Harimau Malaysia yang menyebabkan lima pemain pasukan itu mengalami kecederaan sebaik pulang dari Jelajah Oceania baru-baru ini.

Antara pemain JDT lain dalam skuad kebangsaan adalah penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, Junior Eldstal, Mahali Jasuli, S.Kunanlan, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, Amri Yahyah, Amirulhadi Zainal serta S.Chanturu. dan Kim Swee tidak menolak kemungkinan akan ada lagi pemain yang mengikut jejak Aidil dan Safiq untuk bersara dari arena antarabangsa dalam tempoh terdekat.

- Advertisement -