kim-swee-2

Oleh Ku Mohd Lufti

Mahu atau tidak, Datuk Ong Kim Swee perlu menerima keputusan seri kali kelima dalam tujuh perlawanan persahabatan antarabangsa yang telahpun diharungi setakat ini.

Muka muka baru yang diberi tanggungjawab untuk beraksi di Stadium Shah Alam semalam tampak longlai diawalnya apabila gagal menembusi kubu pertahanan Afghanistan.

Namun segalanya tampak berubah sedikit demi sedikit selepas Afghanistan mendahului menerusi Noarollah Amiri, Hadin Azman menyelamatkan maruah Malaysia sekaligus mengelak kekalahan ketiga.

“Saya percaya bahawa kita sepatutnya menang perlawanan tadi, terutama dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain pada separuh masa kedua. Saya akan fokus pada latihan untuk memperbaiki dan mendapatkan corak serangan yang lebih kemas sebelum perlawanan pertama Piala AFF pada 21 November.

“Bagaimanapun saya cukup kagum dengan prestasi yang ditunjukkan oleh barisan pertahanan hari ini,” kata Kim Swee selepas perlawanan malam tadi.

Hakikatnya, Datuk Ong Kim Swee perlu tahu, masa semakin tidak memihak Malaysia ketika ini dengan hanya sebulan sahaja lagi sebelum 23 pemain dibawa ke Myanmar.

Hanya satu lagi aksi persahabatan antarabangsa, menentang Papua New Guinea pada 14 November menjadi peluang terakhir buat Kim Swee untuk melakukan ‘eksperimen pemain’.

Tidak termasuk perlawanan ke atas New Caledonia yang tidak diiktiraf FIFA sebagai perlawanan persahabatan kelas ‘A’, tujuh perlawanan persahabatan antarabangsa yang diharungi skuad Harimau Malaysia, hanya satu kemenangan sahaja berjaya dilakar.

Kemenangan ke atas Papua New Guinea ketika jelajah Ocenia Jun lalu sedikit sebanyak meniup semangat pemain negara susulan aksi tidak konsisten ketika itu.

Namun tiga keputusan seri, menentang Fiji (25 Jun), Singapura (7 Oktober) dan Afghanistan semalam kembali mengundang persoalan, sejauh mana kesediaan Harimau Malaysia untuk turun ke Myanmar, mengharungi Piala Suzuki AFF November depan?

Daripada tujuh aksi persahabatan antarabangsa ini Malaysia hanya menjaringkan dua gol, dan bolos tujuh gol.

Piala Suzuki AFF akan bermula 19 Nov hingga 17 Disember depan, Malaysia diundi di dalam kumpulan B dan akan bermain di Yangon, Myanmar selaku tuan rumah dan Vietnam serta pemenang perlawanan kelayakan.

- Advertisement -