Jurulatih skuad bolasepak bawah 23 (B-23) negara, Dato’ Ong Kim Swee percaya pasukan kendaliannya akan berjaya melangkah ke pusingan kedua di Sukan Asia Indonesia 2018 dengan syarat dia dapat mengumpulkan kesemua pemain terbaiknya.
Malaysia boleh menghela nafas lega setelah terlepas daripada dihadiahkan undian sukar di temasya yang akan berlangsung bulan depan itu apabila diletakkan sekumpulan bersama juara bertahan Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgystan.
Ini adalah kali kedua berturut-turut Malaysia ‘dijodohkan’ bersama Korea Selatan yang boleh dianggap sebagai lawan paling sukar tatkala Bahrain dan Kyrgystan pula boleh dilabel sebagai lawan setara namun Kim Swee tetap menganggap ia sebagai kumpulan yang mencabar.
“Kita perlu fokus pada persiapan kita, kalau dapat mengumpulkan kesemua pemain B-23 yang terbaik termasuk tiga pemain lebih umur saya percaya kita mampu melangkah ke pusingan seterusnya tetapi jika tidak, kita perlu bekerja keras kerana setiap pasukan pastinya akan menyenaraikan barisan pemain terbaik mereka,” kata Kim Swee.
Temasya di Indonesia ini menyaksikan 24 pasukan mengambil bahagian dan dibahagikan kepada enam pasukan. Dua pasukan teratas setiap kumpulan dan empat pasukan tempat ketiga terbaik akan melangkah ke pusingan kedua.
Empat tahun lalu di Seoul, langkahan Malaysia tersekat di peringkat kumpulan setelah menamatkan cabaran di tempat ketiga Kumpulan A di belakang Korea Selatan dan Arab Saudi. Malaysia tewas 0-3 kepada Korea Selatan dan Arab Saudi dan mencatat hanya satu kemenangan iaitu ke atas Laos.
Kim Swee baru-baru ini telah memanggil 27 pemain ke latihan pusat dengan 10 daripadanya merupakan anggota skuad yang mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China pada Januari lalu.
Mereka adalah penjaga gol Haziq Nadzli, Dominic Tan, Syamer Kutty Abba, Adib Zainudin, Kogileswaran Raj, Syahmi Safari, Jafri Firdaus Chew, Danial Amier Norhisham, Syazwan Zaipol Bahari dan Tommy Mawat Bada manakala 13 lagi pemain tidak dipanggil atas beberapa faktor antaranya terlibat dengan skuad senior dan B-19 kebangsaan serta final Piala FA. – OLEH MUHAMMAD AIMAN