Pengendali skuad bolasepak B-22 kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee tampak lega kerana dia kini mempunyai tempoh lebih panjang untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Kim Swee sebelum ini berdepan situasi sukar mengumpulkan pemain bagi membawa cabaran di kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Thailand minggu lalu dan dijangka akan sekali lagi berdepan situasi sama untuk mengumpulkan pemain bagi latihan pusat Sukan SEA.
Ini kerana saingan Liga Malaysia dijadual hanya akan berhenti rehat pada 9 Ogos – iaitu lima hari sebelum acara bolasepak di temasya dwitahunan itu bermula.
Namun dengan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) membuat keputusan meminda beberapa jadual perlawanan termasuk perlawanan pada 9 Ogos ke tarikh lain, Kim Swee berjanji memanfaatkan kelebihan itu untuk membentuk barisan terbaik bagi merampas semula ‘ibu’ segala pingat emas itu.
Secara dasarnya, pengendali dari Melaka itu dijangka menaruh kepercayaan kepada barisan 22 pemain muda negara yang mempamer aksi cemerlang untuk layak secara merit ke Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan namun dalam masa sama dia juga sedang rancak menilai pemain yang berpotensi untuk dipanggil ke latihan pusat.
“Kita perlu pelbagaikan pilihan. Kita tidak tahu apa akan terjadi dalam masa seminggu atau 10 hari akan datang. Mungkin ada pemain alami kecederaan atau ada posisi tertentu yang perlu saya perkuatkan lagi jadi kita mengenalpasti pemain-pemain yang ada potensi sebelum buat pilihan yang terbaik.
“Ia sudah tentu bukan kerja mudah kerana saya akan turut menilai pemain yang tidak mendapat pelepasan pasukan mereka baru-baru ini. Mereka ibarat pemain baru dan perlu dinilai semula dan seperti saya janjikan sebelum ini, kita tidak tutup pintu buat mana-mana pemain. Kalau mereka bagus dan bersedia wakili negara, mereka akan dipanggil perkuatkan pasukan,” ujarnya.
Pusingan kelayakan AFC B-22 baru-baru ini menyaksikan Kim Swee bukan sahaja terpaksa mengetepikan dua pemain utama Ahmad Syihan Hazmi dan Ahmad Khairil Anuar Zamri (Beto) kerana kecederaan.
Tetapi turut kehilangan khidmat enam tonggak lain yang tidak mendapat pelepasan iaitu Mathew Davies, Norazam Azih (Pahang), Safawi Rasid, Haziq Nadzli (Johor Darul Takzim) serta S.Kumaahran dan Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang).
Kim Swee dijadual memanggil kesemua pemain yang disenaraipendek untuk latihan pusat pada 6 Ogos, iaitu sebaik aksi terakhir Liga Super pada 5 Ogos sebelum memuktamadkan senarai akhir skuad KL2017 beberapa hari kemudian.
Malaysia akan membuka tirai Sukan SEA kali ini dengan menentang Brunei pada 14 Ogos, diikuti Singapura (16 Ogos), Myanmar (21 Ogos) dan Laos (23 Ogos).
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas adalah di edisi Indonesia 2011. Cabaran negara di Myanmar 2013 tersekat di separuh manakala dua tahun lalu di Singapura gagal melepasi halangan peringkat kumpulan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN