Pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee meluahkan kesediaannya untuk memburu kemenangan ke atas Korea Selatan di peringkat suku akhir esok.
Selepas berjaya membawa Malaysia ke pusingan akhir Piala AFC B 23 tahun lalu, Kim Swee melakar kejutan apabila membawa pasukan negara ke peringkat suku akhir.
Malaysia hambar diawal susulan kekalahan kepada Iraq, namun bangkit meraih mata selepas mengikat Jordan sebelum mengejutkan Arab Saudi dalam perlawanan terakhir kumpulan C.
Bagi Kim Swee, apa sahaja yang telah berlaku sepanjang peringkat kumpulan adalah sejarah dan tidak perlu diungkit lagi.
Baginya, saingan kalah mati adalah berbeza dan semua pasukan akan turun dengan matlamat dan perancangan yang berbeza.
“Tidak perlu untuk kami melihat sejarah atau pencapaian walaupun ianya hangat di Malaysia ketika ini. Kami perlu fokus untuk berdepan Korea Selatan dan pemain perlu bekerja dengan lebih gigih,”kata Kim Swee
Pertama kali beraksi di pentas yang besar selepas Asia Tenggara adalah sesuatu yang baru untuk peman, ditambah berdepan pasukan yang mempunyai status sebagai pilihan untuk ke separuh akhir.
Bagi Kim Swee juga, Korea Selatan tidak mempunyai banyak kekurangan meskipun dipaksa bekerja keras untuk menundukkan Australia pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Rabu lalu.
“Saya harap pemain pemain dapat tunjukkan sesuatu dan matlamat kami sebelum ke sini adalah untuk melakar kejutan.
“Adalah baik jika dapat berehat sehari lebih berbanding Korea Selatan, tetapi saya percaya mereka sudah biasa dengan situasi seperti ini sejak sekian lama,”kata Kim Swee lagi.
Matthew Davies antara tiga pemain yang masih dibelenggu kecederaan dan Datuk Ong Kim Swee akan terus memantau sehingga esok sebelum menentukan siapakah kesebelasan utama yang akan diturunkan untuk berdepan Korea Selatan.OLEH KU MOHD LUFTI