Pengendali skuad B-22 kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee mengumumkan senarai awal 30 pemain untuk menjalani latihan pusat di Wisma FAM sebagai persiapan untuk menghadapi Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China pada Januari nanti.
Seperti dijangka, Kim Swee mengekalkan kesemua anggota skuad pemenang pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu, dengan hanya tiga pemain iaitu Amirul Hisyam Awang Kechik, Ariff Farhan Mat Isa dan penyerang Pulau Pinang S. Kumaahran digugurkan kerana belum pulih dari kecederaan.
Empat pemain yang memperkuatkan skuad ini ketika pusingan kelayakan di Bangkok pada Julai lalu turut dipanggil semula untuk kem latihan kali ini iaitu penjaga gol Terengganu Amierul Hakimi Awang, Sean Eugen Selvaraj (Negeri Sembilan), Danial Ashraf Abdullah (Kelantan) dan Raphi Azizan Mariappen (PJ Rangers).
Manakala empat lagi pemain iaitu Ahmad Syihan Hazmi (Kelantan), Dominic Tan (JDT), Tommy Mawat Bada (PJ Rangers) dan Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak) pula kembali ke dalam skuad selepas tersisih lama kerana kecederaan.
Yang menariknya, Kim Swee turut menyenaraikan empat pemain dari skuad B-19 kendalian Bojan Hodak yang layak ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 iaitu penyerang meningkat naik berusia 17 tahun, Hadi Fayyadh Abdul Razak yang mewakili JDT II, Nik Akif Syahiran dari Kelantan, K.Thivandaran (Pulau Pinang) dan Shivan Pillai Asokan (PKNS).
Pasukan negara akan berlatih selama tiga minggu di Wisma FAM sebelum terbang ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 Disember untuk menjalani latihan pusat di sana sehingga 30 Disember dan kemudiannya ke Nanjing, China untuk latihan pusat terakhir di sana sehingga 6 Januari.
Malaysia yang layak kali pertama beraksi di pusingan akhir akan membuka tirai aksi Kejuaraan AFC B-23 dengan menentang Iraq (10 Januari) diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari) – dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN