khuzaimi-piee
Khuzaimi

Oleh Muhammad Aiman

Sedar tidak lagi mempunyai banyak masa, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee memilih untuk meneruskan persiapan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2016 di Yangon minggu depan dengan pemain yang sedia ada.

Setelah kehilangan khidmat pemain tengah Nasir Basharudin kerana kecederaan pangkal peha, terbaru Kim Swee terpaksa melupakan kelibat seorang lagi pemain setelah pertahanan kiri Melaka, Ahmad Khuzaimi Piee turut tersisih gara-gara kecederaan harmstring dialami ketika aksi persahabatan menentang skuad B-22 kebangsaan pada Jumaat. 

“Setakat ini memang saya tidak bercadang memanggil sesiapa sebagai pengganti Khuzaimi. Walaupun kekurangan seorang pemain bek kiri semulajadi, saya percaya pemain-pemain sedia ada turut mampu mengalas tanggungjawab beraksi di posisi tersebut,” kata Kim Swee.

Ketiadaan Khuzaimi bermakna pengendali dari Melaka itu hanya mempunyai Nazirul Naim Che Hashim di posisi bek kiri namun pemain-pemain seperti Ronny Harun, Mathew Davies dan Rizal Ghazali dijangka menjadi alternatif buatnya sekiranya keadaan memerlukan.

Ianya situasi berbeza bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Nasir di mana Kim Swee mempunyai lebih banyak pilihan di posisi tengah – sama ada Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani, S.Veenod, Safawi Rasid mahupun bekas kapten Harimau Muda, Irfan Fazail.      

Tanpa dua pemain itu, bermakna Kim Swee kini perlu menggugurkan hanya seorang sahaja pemain bagi memuktamadkan senarai 23 pemain yang akan membawa cabaran di Myanmar dari 20 – 26 November depan.

Senarai tersebut akan diumumkan Kim Swee pada Selasa (15 November) selepas membuat penilaian terakhir pada perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam, Isnin (14 November) ini.    

- Advertisement -