Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih pasukan bolasepak kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee bersama-sama penolongnya Brad Maloney akan menimba ilmu selama sebulan bermula minggu depan bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queens Park Rangers.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia, Dato’ Hamidin Mohd Amin berkata pemergian KimSwee untuk ‘berguru’ di England itu akan ditaja sepenuhnya syarikat penerbangan Air Asia milik Tan Sri Tony Fernandes, yang juga pemilik kelab itu.

“Mereka (Kim Swee dan Brad) akan berpeluang melihat sendiri sesi latihan pasukan utama QPR kendalian Ian Holloway di Harlington dan dari situ mereka boleh berbincang mengenai kaedah latihan, taktikal dan persiapan menjelang perlawanan bagi mempelajari sesuatu yang baru.

“Kita juga sudah berbincang dengan Pengarah Bola Sepak QPR, Les Ferdinand untuk membolehkan Kim Swee dan Brad melihat sendiri operasi kelab dan latihan peringkat akademi, selain menyusun pelbagai program bagi memastikan tempoh sebulan di sana akan memberi manfaat bukan sahaja kepada mereka, tetapi juga kepada pasukan kebangsaan,” kata Hamidin.

Kim Swee ketika ini sedang mempersiapkan skuad Harimau Malaysia bagi menghadapi aksi Kumpulan B pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2019, di mana pasukan negara telah diundi bersama Korea Utara, Hong Kong dan Lubnan.

Dan Kim Swee dijangka dapat menerapkan ilmu yang dibawa pulang dari bumi England buat kali pertama apabila Malaysia turun menentang Korea Utara pada 28 Mac depan.

Menurut pengendali berasal dari Melaka itu, “Terima kasih kepada AirAsia dan QPR. Bagi saya, program ini baik untuk saya kerana berpeluang untuk melihat sendiri dengan lebih dekat perancangan sebuah pasukan kelab profesional yang bersaing di peringkat tinggi.

“Pada masa sama juga, ia membantu saya dari segi karier kejurulatihan dan boleh dibawa bersama ke pasukan kebangsaan, apa yang perlu. Ia termasuk juga apa yang bakal dilihat di akademi QPR seperti apa yang dilakukan kepada pemain-pemain remaja mereka, bukan saja di dalam padang tetapi juga di luar padang. Saya kira banyak benda baharu yang boleh dipelajari sepanjang tempoh sebulan itu,” kata Kim Swee.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Datuk Kamarudin Meranum pula berkata kerjasama jangka panjang yang terjalin bersama FAM ini hanyalah satu permulaan dan ianya sumbangan ikhlas pihaknya di dalam memajukan bolasepak tanah air.

“Kita harapkan selepas ini kita akan dapat bekerjasama dengan lebih erat. Selain jurulatih, kita juga merancang menghantar pemain-pemain muda tempatan untuk berlatih, menimba ilmu di kelab berkenaan selain membawa masuk pakar dari QPR datang ke negara ini bagi membantu program latihan khususnya membabitkan pemain remaja,” ujarnya. 

- Advertisement -