Kejayaan pemain perseorangan wanita negara, S Kisona yang muncul juara kejohanan badminton Spanish International 2021 di La Nucia minggu lalu enggan menganggap kemenangan yang diraih sebagai membanggakan.

Malah, beliau masih belum berpuas hati dengan apa yang diberikan sepanjang kejohanan di Sepanyol itu dan masih banyak yang perlu diperbaiki.

Pemain berusia 22 tahun itu menewaskan satu lagi wakil negara, Goh Jin Wei di pentas final 21-14, 21-19.

“Saya telah mengenal pasti kelemahan dalam perlawanan akhir, saya akan berbincang dengan jurulatih Indra Widjaja dan Loh Wei Sheng bagaimana cara untuk tingkatkan prestasi di masa akan datang,” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan di laman Facebook Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 Manila ini turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatih Indra Widjaja dan Loh Wei Sheng yang banyak memberinya tunjuk ajar dan sentiasa bersabar dalam mendidiknya.

Selain Kisona, turut meraikan kemenangan di Spanish International adalah Tee Kai Wun yang muncul juara dalam kategori beregu campuran dan beregu lelaki.

Kai Wun meraih kemenangan pertama apabila beliau bersama pasangannya Teoh Mei Xing menumpaskan beregu campuran pilihan ketiga dari England Callum Hemming-Jessica Pugh dengan kemenangan 21-15, 13-21, dan 21-19.

Kai Wun kemudiannya meneruskan aksi cemerlang apabila bersama berpasangan dengan Man Wei Chong mengungguli acara beregu lelaki dengan menewaskan pasangan Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis dengan 21-15, 21-18.

 

- Advertisement -