Tindakan pemain Pahang, Nurridzuan Abu Hassan meludah muka ketua pasukan Felda United, Zahrahan Krangar ketika pertemuan Liga Super antara kedua-dua pasukan Sabtu lalu jelas menimbulkan kemarahan pengendali Felda, B.Sathianathan.
Menurut Sathianathan, tindakan Nurridzuan itu adalah tidak patut sekaligus melambangkan betapa rendahnya bukan sahaja semangat kesukanan tetapi juga nilai kemanusiaan dalam diri pemain itu.
“Kita bukan binatang nak ludah orang, baik dia pergi makan sireh, lepas tu bolehlah nak ludah ke mana dia suka,” demikian kata Sathianathan yang sememangnya dikenali dengan kenyataan-kenyataan berbaur sinis dan pedas.
Meludah pemain lawan adalah kesalahan berat di mana seseorang pemain boleh digantung sehingga enam perlawanan sepertimana pernah terjadi kepada pemain tengah Johor Darul Takzim, Nazmi Faiz Mansor pada 2015.
Nazmi yang mewakili skuad B-23 kebangsaan di Sukan Sea Singapura ketika itu digantung enam perlawanan oleh Konfederasi Bolasepak Asia gara-gara meludah pemain Timor Leste, Felipe Oliveira pada perlawanan pembukaan.
Sementara itu, mengulas mengenai kad merah yang dilayangkan kepada Zahrahan selepas tamat perlawanan, Sathianathan mengakui beliau keliru dengan insiden itu dan perlu merujuk kepada rakaman video terlebih dahulu.
“Saya tidak pasti apa yang terjadi, dia (Zahrahan) keluar padang setelah pemain Pahang enggan bersalam sebaik tamat perlawanan. Saya arahkan dia masuk balik ke padang tetapi tiba-tiba pengadil melayangkan kad merah kepadanya.
“Takkan kerana pemain lawan tidak mahu bersalam, dia pula dilayangkan kad merah? Bagi saya, jika pemain Pahang enggan bersalam, buat apa nak tunggu. Ini soal semangat kesukanan,” ujar Sathianathan.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka itu menyaksikan Felda bangkit dari ketinggalan 0-1 seawal minit pertama untuk mencatat kemenangan kelima mereka musim ini menerusi jaringan dua pemain import yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua, Ifedayo Olusegun (m-6)dan Thiago Augusto (m-88)
Mengenai kelibat tiga pemain import baru termasuk Curran Lawrence Singh Fern, Sathianathan berpendapat prestasi mereka memuaskan mengambil kira ini adalah aksi pertama mereka dan percaya mereka akan lebih menyerlah selepas ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN